Fokus keselamatan premis kesihatan, perkukuh Pelan Kesihatan Mental

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Memastikan aspek keselamatan premis kesihatan dan memperkukuh pelan pembangunan kesihatan mental merupakan antara perkara yang perlu ditekankan Majlis Penasihat Kesihatan yang dicadang menteri kesihatan baru-baru ini.

Aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye berkata dua aspek  tersebut penting mengambil kira kejadian berkaitan yang dilaporkan di negara ini.

"Ini penting kerana berdasarkan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, masih terdapat premis kesihatan awam dan swasta yang tidak selamat dan berisiko tinggi untuk berlaku kebakaran. Kita juga sering dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah termasuk pembunuhan melibatkan suspek yang mengalami masalah mental," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata  kebakaran yang memusnahkan sebahagian stor Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Mac lalu menunjukkan insiden tersebut boleh berlaku di bangunan penting pada bila-bila masa.

Katanya ia juga termasuk kebakaran di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang turut meragut nyawa enam pesakit termasuk empat wanita pada Oktober tahun lalu.  

Pihak berkuasa perlu menjalankan audit keselamatan secara tahunan untuk semua premis kesihatan seperti hospital, terutamanya yang berusia lebih dari 20 tahun di seluruh negara dan perlu melibatkan pemeriksaan menyeluruh pendawaian elektrik di bangunan dan kemudahan yang ada.

"Pihak  berkuasa yang menjalankan pemeriksaan tersebut juga perlu mengenal pasti tahap keselamatan termasuk bahaya kebakaran yang mungkin disebabkan oleh pendawaian lama dan bahan binaan yang mudah terbakar," katanya.

Mengenai kesihatan mental, Lee berkata menurut Profesor Bersekutu Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Dr Ng Chong Guan, peningkatan pesakit mental dalam kalangan penduduk negara ini akan bertambah sekali ganda dalam tempoh 10 tahun.

"Berdasarkan nisbah, seorang daripada tiga orang rakyat menghadapi masalah kesihatan mental dan angka ini semakin membimbangkan tahun demi tahun," katanya.

Tambahnya, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas, atau 29.2 peratus populasi negara, menghidapi pelbagai masalah mental, iaitu peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006.  

 Lee turut mencadangkan majlis berkenaan meningkatkan tahap industri kesihatan negara terutamanya perkhidmatan kesihatan awam di hospital dan klinik kerajaan.

Ia termasuk penggunaan lebih banyak peralatan moden dan sistem teknologi maklumat terkini bagi mempercepatkan proses diagnosis penyakit serta mengurangkan masa menunggu.

Sebelum ini Menteri Kesihatan yang baharu, Dr Dzulkefly Ahmad berkata Majlis Penasihat Kesihatan akan ditubuhkan yang diterajui oleh pimpinan bebas politik bagi memainkan peranan menasihat serta memantau Kementerian Kesihatan di negara ini.

-- BERNAMA





HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018