KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Sebuah restoran mamak didenda RM3,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menjual kari ayam yang mengandungi bakteria Salmonella iaitu penyebab utama kes keracunan yang akan menyebabkan demam, cirit-birit, sakit perut dan muntah.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu ke atas pemilik restoran ABC Food Corner, Ayoob Khan Muhamad Yakub, 56, selaku Orang Kena Saman selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Restoran tersebut didakwa menjual kari ayam kepada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, pegawai diberi kuasa di bawah Akta Makanan 1983, iaitu setelah dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia, didapati makanan tersebut mengandungi kehadiran mikroorganisma 'Salmonella spp', iaitu sejenis mikroorganisma patogenik.
Kesalahan itu dilakukan di restoran tesebut, di Jalan 9/125D, Desa Petaling, di sini pada 10.40 pagi, 3 Okt 2017.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 39(2) dibaca bersama 397(1), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan yang sama membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Ketika rayuan, pemilik restoran itu yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan kerana ia adalah kesalahan pertama restoran itu sepanjang menjalankan perniagaan lebih 20 tahun sejak 1998.
Katanya pihak Jabatan Kesihatan telah mengambil lima sampel di restoran beliau antaranya nasi putih, sayur campur dan kari ayam, namun hanya kari ayam yang mempunyai bakteria dan tiada aduan dari pelanggan yang mengatakan mereka mengalami keracunan makanan.
Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Cheras Rofidah Abd Molok memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira bakteria Salmonella merupakan bakteria penyebab utama kes keracunan yang memberi kesan kepada sistem pencernaan dan menyebabkan demam, cirit-birit, sakit perut, muntah dan loya.
"Pencemaran berlaku disebabkan oleh aspek kebersihan dalam penyediaan makanan yang tidak dijalankan dengan baik, mohon hukuman paling maksima," kata Rofidah.
Mengikut fakta kes, penolong pegawai kesihatan persekitaran telah pergi ke restoran tersebut untuk menjalankan persampelan makanan di premis tersebut dan telah membeli kari ayam dengan harga RM4 sebelum menghantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN