Hindari Kebutaan Akibat Retinopati Diabetes

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Diabetes adalah penyebab yang paling lazim bagi kebutaan di kalangan orang dewasa di Malaysia.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kira-kira 15,000 hingga 39,000 orang hilang penglihatan kerana diabetes.

Keadaan ini dirujuk sebagai Retinopati (kerosakan pada retina) Diabetes, yakni diabetes menyebabkan kerosakan saluran darah pada tisu paling sensitif cahaya dalam retina yang terletak di belakang mata.

Satu daripada tiga pesakit diabetes mengalami masalah kerosakan pada retina seumpama itu.

"Pemeriksaan untuk retinopati diabetes adalah penting kerana lebih lama anda menghidap kencing manis dan apabila semakin tidak terkawal kandungan gula dalam darah, kemungkinan besar anda akan mengalami keadaan ini, " kata Pakar Perunding Endokrinologi dan Ketua Unit Endokrin, Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein dalam satu kenyataan.

Semua pesakit diabetes jenis 1 dan jenis 2 berisiko mendapat penyakit berkenaan.

Bagaimanapun, pengesanan awal dengan rawatan yang tepat pada masanya dan penjagaan susulan yang sesuai dapat mengurangkan risiko kehilangan penglihatan yang teruk sebanyak 95 peratus.

GEJALA DAN RISIKO

Tiada terdapat sebarang gejala awal bagi retinopati diabetes, tetapi keadaannya menjadi lebih teruk dan lambat-laun berpotensi menyebabkan kehilangan penglihatan atau kebutaan.

Apabila keadaan itu berlarutan, penglihatan akan terganggu dengan kehadiran apungan atau "floaters" seperti tompokan atau jalur hitam seperti rambut.

Pesakit juga mungkin mengalami masalah penglihatan menjadi kabur, penglihatan tidak stabil, gangguan penglihatan warna atau/dan tompok kosong dalam penglihatan.

Risiko mengalami keadaan itu boleh meningkat akibat tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi, serta penggunaan tembakau.

Wanita hamil juga menghadapi risiko lebih tinggi untuk mengalami diabetes dan retinopati diabetes.

KAMERA FUNDUS LEBIH BAIK

Dengan peningkatan kes diabetes di kalangan rakyat Malaysia, termasuk golongan yang lebih muda, KKM menubuhkan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) untuk Saringan Retinopati Diabetes Kebangsaan pada 2016.

Kumpulan ini menggabungkan pakar-pakar endokrinologi dan penjagaan mata untuk menangani masalah berkaitan secara padu, yang memerlukan pengkhususan dalam penyakit diabetes serta penjagaan optometri.

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi KKM Dr Nor Fariza Ngah berkata TWG memulakan projek perkongsian antara hospital dan klinik kesihatan awam untuk mewujudkan kesedaran tentang kesihatan mata, terutama untuk retinopati diabetes di kalangan rakyat Malaysia.

"Hasil daripada usaha TWG itu, 189 profesional penjagaan kesihatan KKM termasuk kalangan pendidik diabetes dari zon timur dan tengah dilatih untuk saringan retinopati diabetes.

"Mereka diajar cara menggunakan kamera fundus yang merupakan alternatif yang lebih baik kepada oftalmoskop yang biasa digunakan pada peringkat penjagaan asas, " katanya yang juga Ketua Jabatan Oftalmologi Hospital Shah Alam.

Kamera fundus adalah peralatan berteknologi tinggi yang digunakan untuk melihat bahagian belakang bola mata di mana terdapat saluran darah serta saraf yang berkait rapat dengan pelbagai keadaan penyakit mata. 

Dr Nor Fariza menjelaskan bahawa mata pesakit perlu "dikembangkan" (titisan mata untuk membesarkan anak mata) apabila menggunakan oftalmoskop, dan ini membuatkan pesakit  memerlukan bantuan seseorang untuk bersama-sama mereka ketika berulang-alik untuk pemeriksaan.

Tambahan pula, majoriti pesakit diabetes dirawat di peringkat penjagaan asas sahaja di mana mereka tidak terdedah kepada penjagaan profesional kesihatan yang mempunyai kemahiran untuk mengendalikan oftalmoskop.

Beliau menegaskan bahawa di kebanyakan hospital hanya sedikit peratusan pesakit diabetes yang mendapat manfaat daripada prosedur berkenaan.

"Nasib baik, kamera fundus boleh melampaui kesemua batasan ini, menjadikannya mudah dari segi masa dan keselesaan.

"Malah, kalangan profesional penjagaan kesihatan seperti jururawat, paramedik dan juga Pakar Perubatan Keluarga diajar cara menggunakannya, " katanya.

Beliau menambah KKM sedar bahawa terdapat peluang untuk memanfaatkan sepenuhnya kamera fundus untuk penyaringan maksimum.

Oleh itu, kementerian telah menjalankan pelbagai usaha dengan TWG untuk mendapatkan seberapa banyak pesakit berisiko retinopati diabetes, di samping menyediakan lebih banyak klinik kesihatan yang dilengkapi kamera berkenaan.

DUA KAJIAN PERINTIS

TWG juga mengadakan dua kajian perintis untuk saringan fundus di Hospital Putrajaya dan Klinik Kesihatan Jeram. Setakat ini ia berjaya memberi perkhidmatan kepada sejumlah 1,792 pesakit diabetes.

Kajian itu mendapati bahawa ramai pesakit tidak menjalani saringan kerana proses "mengembangkan" mata yang menyukarkan.

"Penemuan dari kajian perintis itu menunjukkan terdapat peningkatan dalam kepuasan pesakit kerana tempoh menunggu yang dipendekkan.

"Pesakit yang dikesan mengalami sebarang bentuk retinopati diabetes tanpa mengira sama ada teruk atau sebaliknya akan segera dirujuk ke klinik oftalmologi untuk rawatan lanjut, " katanya.

Beliau menggesa semua pesakit diabetes untuk menjalani pemeriksaan retinopati sekali setahun untuk mencegah kebutaan yang boleh dielakkan, lebih-lebih lagi prosedur pemeriksaan kini lebih mudah dan lancar.

BERNAMA





HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018