P.Pinang mahu kurangkan toleransi masyarakat terhadap perokok



BUTTERWORTH, 26 Jun (Bernama) -- Usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjadi negeri bebas asap rokok dalam tempoh lima tahun akan datang bertujuan mengurangkan sikap toleransi masyarakat terhadap para perokok.

Menyifatkan masyarakat sangat bertoleransi dengan golongan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin berkata usaha itu bukan untuk menyekat sesiapa merokok sebaliknya mahu mengubah sikap masyarakat 'yang tiada masalah' dengan individu yang merokok di sebelah mereka.

"Kita tak sekat orang untuk hisap rokok. Tetapi mereka perlu hormat hak individu lain atau masyarakat sekeliling untuk mendapatkan udara yang bersih dan bebas asap rokok. Kalau nak merokok mereka cari tempat yang boleh untuk merokok. Bukannya semua tempat boleh merokok. 

"Kalau sekarang ini banyak tempat boleh merokok, jadi kami nak buat seluruh negeri tak boleh (merokok) kecuali tempat tertentu. Adalah menjadi harapan P, Pinang boleh bergelar negeri pertama di Malaysia menjadi kawasan bebas asap rokok," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee serta barisan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan negeri.

Ahad lepas, Dr Afif berkata Pulau Pinang menerusi program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) dalam perancangan mewartakan seluruh negeri sebagai kawasan larangan merokok dalam lima tahun akan datang supaya menjadi negeri bebas asap rokok.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan negeri telah mewartakan semua kawasan di Tapak Warisan Dunia George Town dan enam taman awam dan rekreasi di negeri ini sebagai kawasan larangan merokok dan undang-undang itu akan diperluaskan ke kawasan lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, Dr Afif berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub pada 3 Julai ini untuk membincangkan beberapa isu pertanian di negeri ini termasuk isu penternakan babi, enakmen penternakan unggas dan enakmen peraturan industri asas tani negeri.

Terdahulu, Chow dalam ucapannya pada majlis itu berkata budaya perkongsian dan muafakat harus diamalkan bukan sahaja dalam konteks perkongsian perayaan malah setiap amalan dan kehidupan seharian.

"Hari lebaran Aidilfitri juga memberi kesempatan kepada kita untuk saling bermaafan dan mengukuhkan hubungan silaturahim yang sedia terjalin. Oleh itu, kita harus kekalkan semangat muhibah dan permuafakatan kerana saya yakin bahawa ia akan menjadi tunjang kekuatan kita untuk terus hidup aman dan makmur," katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018