Cacing sebabkan penyakit ditemui dalam sampel tin sardin dari China

Datuk Mokhtarud-din Husain

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menemui cacing yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis kepada manusia dalam sampel tin sardin  dari  China yang dibawa masuk menerusi North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang pada 14 Mei lalu.

Ketua Pengarah MAQIS Datuk Mokhtarud-din Husain berkata cacing terbabit ditemui menerusi pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa tin sardin yang tiba dalam dua kontena berisi  'Canned Mackerel in Tomato Sauce' jenama RANESA yang ditahan di NBCT  dengan anggaran berat  36,720 kilogram bernilai RM199,797.24.

Cacing terbabit  berkemungkinan  daripada genus Anisakis spp yang menyebabkan penyakit  anisakiasis  kepada manusia yang biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit terbabit, katanya dalam kenyataan hari ini.

Anisakiasis adalah penyakit parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh nematode Anisakis spp (cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal seperti perut dan usus manusia dan boleh menyebabkan masalah atau simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah.

Mokhtarud-din berkata perbuatan  mengimport melalui pintu masuk apa-apa  tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma dengan perosak, penyakit atau bahan cemar adalah merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Kes ini disiasat untuk  tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata pengimportan ikan sardin perlu mendapatkan permit import daripada MAQIS.

"Walaupun permit import diberikan, pengimport perlulah mematuhi bahawa ikan sardin yang diimport mestilah bersih dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia," katanya.

Mokhtarud-din berkata MAQIS akan terus menjalankan pemeriksaan ke atas produk ikan sardin dan mackerel (sejenis ikan kembung) dalam tin yang diimport di seluruh pintu masuk negara bagi memastikan isu sedemikian tidak berulang.

"Perkara ini amat penting bagi memastikan sebarang produk ikan seperti ikan sardin yang diimport ke negara kita mestilah sentiasa selamat, bersih dan tidak cemar dengan bendasing seperti cacing," katanya.

MAQIS  merupakan jabatan yang bertanggungjawab untuk mengawal aktiviti import, eksport, pemeriksaan,  kuarantin dan penguatkuasaan bagi pengimportan apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma di semua pintu masuk negara yang diwartakan.

Sebanyak 57 buah pintu masuk yang terdiri daripada pintu masuk udara, laut dan darat telah diwartakan dan dikawal oleh  pihak MAQIS.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2