Lelaki berisiko tinggi hidap kanser kolorektal - KP Kesihatan




KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Jika  kanser payu dara merupakan ancaman  terbesar kepada  golongan wanita, kaum lelaki pula terdedah kepada risiko kanser kolorektal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata individu berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko tinggi menghidap kanser ini berikutan pelbagai faktor.

"Antaranya faktor genetik, gaya pemakanan, amalan merokok, obesiti dan juga penyakit diabetes,  manakala kesedaran membuat saringan awal amat penting.

"Sekiranya mereka mempunyai simptom seperti perubahan dalam tabiat usus, darah dalam najis, susut berat badan dan juga anemia, disarankan agar ke hospital untuk mengesan puncanya," katanya selepas melancarkan buku panduan amalan klinikal kanser kolorektal di Hospital Selayang, hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan (MNCR), dianggarkan  35,000 hingga 40,000 kes kanser setiap tahun, manakala penghidap kanser kolorektal adalah kira-kira 13.2 peratus daripada jumlah tersebut.



"Apa yang kita lihat sekarang, saringan digunakan untuk kes yang berisiko tinggi, tapi kita kena lihat  bagaimana untuk menggunakan kaedah lain, sebagai contoh, mengesan darah dalam najis.

"Itu salah satu contoh saringan, dan seterusnya boleh menjalankan kaedah kolonoskopi untuk mengesan kanser kolorektal. Penyakit ini akan menimbulkan gejala ketara pada tahap tiga dan empat (tahap serius) sahaja," katanya.

Dr Noor Hisham berkata pesakit boleh menjalani saringan di mana-mana hospital kerajaan dan kos rawatan bagi setiap seorang boleh mencecah RM21,000.

"Namun, rakyat Malaysia diberikan subsidi kerajaan dan kos yang ditanggung adalah lebih rendah. Semakin serius tahap kanser, semakin banyak kos yang diperlukan untuk merawat," katanya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk pengambilan makanan berserat tinggi, mengehadkan pengambilan alkohol, aktif secara fizikal, mengehadkan makan daging merah dan mengindari daging yang diproses untuk mengurangkan risiko kanser.

Menurut Persatuan Kanser Amerika, kanser kolorektal adalah kanser yang bermula pada kolon atau rektum. Kanser itu dinamakan kanser kolon atau kanser rektum, bergantung di mana ia bermula.


Kebanyakan kanser kolorektal bermula sebagai satu tumbuhan yang dipanggil polip pada lapisan dalam kolon atau rektum. Sesetengah jenis polip boleh bertukar menjadi kanser setelah beberapa tahun tetapi tidak semua demikian.

-- BERNAMA 







HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018