Ramai pengguna tidak tahu, kurang yakin berita cacing dalam tin sardin

Oleh Anita Hiew & Hasmia Radde



KOTA KINABALU, 28 Jun (Bernama) -- Meskipun isu penemuan cacing dalam produk sardin dalam tin yang dimport dari China telah diuar-uarkan di media sosial dan media arus perdana namun masih ramai peniaga mahupun pengguna tidak tahu atau kurang yakin dengan berita yang tersebar berkenaan.


Walaupun Kementerian Kesihatan mengesahkan dua jenama makanan sardin dalam tin yang dikesan mengandungi cacing baru-baru ini, namum tinjauan  Bernama di beberapa kedai runcit di sekitar Kota Kinabalu mendapati peniaga dan pengguna berbeza pandangan mengenai isu berkenaan.


Bagi peniaga yang belum mengetahui berita mengenai isu cacing dalam tin sardin, mereka bertegas akan terus menjual produk itu kerana  mendakwa ia telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan selain mempunyai logo 'halal' pada tin sardin itu.


Bagi peniaga yang mengetahui perkara itu, mereka terkejut kerana tidak menyangka sardin jualan mereka selama ini mengandungi bendasing berkenaan.


Seorang peniaga, Norsiah Ahmad, 35, berkata beliau hanya mengetahui isu berkaitan cacing tetapi tidak menyangka ia melibatkan produk yang terdapat di premis jualannya yang terletak di Jalan Sinsuran, di sini.  


"Saya hanya mengetahui perkara itu pagi tadi dan sekarang ini saya merasa amat kecewa dan sudah pasti akan mengalami kerugian," katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.


Katanya, sebagai seorang peniaga runcit secara kecil-kecilan penarikan produk itu dari pasaran akan menjejaskan sumber pendapatannya.


Seorang pengguna, Romiah Taboyu, 57, pula berkata beliau tidak mempercayai berita itu walaupun telah mengetahui berita berkenaan selepas tular di aplikasi WhatsApp.


"Susah juga hendak percaya sebab tular di media sosial. Semalam Mak Cik beli dua tin ikan sardin lagi untuk bekalan anak-anak di rumah," katanya.


Seorang lagi penggemar sardin, Siti Ampasok, 23, pelajar sebuah kolej swasta,  berkata beliau sangat gemar membeli produk sardin dalam tin untuk  menjimatkan kos.  


"Sejak masuk asrama  ikan sardin dalam tin menjadi kegemaran saya dan menjadi hidangan sekurang-kurangnya dua kali seminggu", katanya yang berasal Keningau.


Semalam, Kementerian Kesihatan telah mengarahkan syarikat yang terlibat menarik balik produk berkenaan dari pasaran dan pemantauan akan terus dijalankan terhadap produk ikan dalam tin (sardin dan mackerel) yang diimport serta pasaran tempatan.


Jenama sardin yang didedahkan oleh kementerian berkenaan dikesan dan disyaki mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada Genus Anisakis spp.


-- BERNAMA  





HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2