23 premis makanan di Melaka tengah diarah tutup

MELAKA, 29 Jun (Bernama) -- Sebanyak 23 premis menjual makanan dan minuman di sekitar daerah Melaka Tengah diarah tutup dalam pemeriksaan melibatkan 731 premis yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan negeri menerusi 30 Op Keselamatan Makanan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas.



Exco Kesihatan Melaka Low Chee Leong berkata tindakan berkenaan dilakukan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 ekoran kegagalan pengusaha makanan mematuhi peraturan, kualiti dan tahap kebersihan dalam aspek penyediaan serta pengendalian makanan yang ditetapkan.



Beliau berkata penekanan terhadap aspek kebersihan dan keselamatan dalam menyediakan serta mengendalikan makanan penting bagi mengelak sebarang kesan atau penyakit kepada pengguna.



"Kita memandang serius isu atau kualiti kebersihan premis makanan atau minuman yang beroperasi di negeri ini lebih-lebih lagi Melaka merupakan destinasi pelancongan yang terkenal di dalam dan luar negara."



"Justeru, Jabatan Kesihatan negeri akan terus mempertingkat penguatkuasaan dan pemeriksaan di semua premis menjual makanan dan minuman di negeri ini khususnya di kawasan tumpuan antaranya di Melaka Raya kerana terdapat aduan tentang tahap kebersihan di kawasan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.



Sementara itu, beliau berkata pengusaha sebuah restoran menjual nasi ayam di Taman Melaka Raya di sini diberi peringatan keras setelah pemeriksaan dilakukan di restoran berkenaan kira-kira 11.05 pagi semalam ekoran penularan video berdurasi 57 saat memaparkan aktiviti sekumpulan gagak memakan ayam yang digantung di bahagian atas belakang premis berkenaan.




Katanya perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana makanan yang telah disediakan atau dijual perlu diletakkan di tempat tertutup, bersih dan tidak dihurung serangga atau haiwan bagi mengelak dijangkiti sebarang kuman atau bakteria yang mengundang penyakit kepada pengguna.



Low berkata orang ramai turut disaran memilih gerai yang bersih sebelum membeli makanan agar tidak memudaratkan diri mereka dan membuat laporan kepada pejabat kesihatan daerah sekiranya terdapat premis makanan yang didapati kotor atau tidak mematuhi aspek kebersihan dalam penyediaan dan pengendalian makanan.



"Orang ramai memainkan peranan penting untuk membantu kita menguatkuasakan undang-undang secara lebih berkesan kerana mereka kerap berada di kawasan tumpuan," katanya.



-- BERNAMA





HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2