Tidak perlu panik cacing dalam tin sardin - pakar akuakultur UMT



KUALA TERENGGANU, 1 Julai (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam memilih jenama produk sardin dalam tin susulan penemuan cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp dalam sardin tin yang diimport dari China baru-baru ini.



Bagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak terlalu panik dengan isu itu kerana ia tidak memudaratkan jika telah termakan memandangkan cacing berkenaan telah mati semasa proses pembuatan sardin dalam tin yang menggunakan haba yang tinggi.



Pensyarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Marina Hassan berkata parasit memang wujud dalam rantaian makanan atau kehidupan harian manusia tanpa  disedari secara langsung.



Makanan yang tercemar oleh parasit adalah sukar untuk dielakkan kerana kadang-kadang ianya tidak dapat dikesan tetapi parasit yang biasanya dikesan di dalam makanan laut adalah nematod (cacing gelang), cestod (cacing pita) and flukes (cacing pipih)," katanya kepada Bernama hari ini.



"Namun, terdapat juga parasit yang sukar dikesan seperti protozoa. Terdapat beberapa simptom yang disebabkan oleh jangkitan parasit iaitu sakit perut, cirit birit, muntah, pucat, hilang berat badan dan hilang selera makan."



Jika berlaku sebarang simptom yang ketara ini, maka ianya boleh dikesan dan dapat dirawat. Parasit mungkin menjangkiti kita tetapi ianya tidak memberi kesan berpanjangan atau signifikan dan berkemungkinan ianya mati disebabkan sistem pertahanan badan kita yang kuat," katanya.



Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mengarahkan syarikat pengeluar bagi enam produk ikan sardin dalam tin jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy ditarik daripada pasaran kerana dipercayai mengandungi bendasing cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.



Mengulas lanjut, beliau berkata parasit dalam produk makanan berasaskan makanan laut akan mati jika proses menyediakannya adalah menggunakan suhu yang tinggi, suhu sejuk beku atau pengawetan yang sesuai.



"Kehadiran parasit dalam produk-produk makanan ini akan merendahkan kualiti produk tersebut. Pada pandangan umum, ianya adalah menjijikan untuk dimakan. Tetapi, jika kita termakan, ianya tidak memberi kemudaratan jika pemprosesan makanan tersebut membolehkan parasit dan kitaran hidupnya mati seperti telur dan juga larva."



"Tetapi, jikalau makanan berasakan organisma laut seperti ikan, tiram dan sebagainya ini dimakan mentah atau separuh masak maka risiko jangkitan adalah tinggi. Tidak semua parasit daripada hidupan laut yang kita makan ini memberi kemudaratan kepada kita kerana kebanyakkannya mempunyai perumah sebenarnya yang spesifik iaitu di kalangan  hidupan akuatik sahaja dan bukan haiwan di darat atau manusia," katanya.



-- BERNAMA








HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018