Kumpulan Whatsapp komuniti bantu kurang kes denggi di Ipoh

IPOH, 2 Julai (Bernama) -- Penubuhan kumpulan WhatsApp 'Komuniti Cegah Denggi' antara langkah proaktif yang telah membantu mengurangkan kadar kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man berkata 30 kumpulan WhatsApp yang diwujudkan itu melibatkan 300 anggota antaranya terdiri daripada penduduk setempat, wakil badan sukarela dan rukun tetangga.

"Kumpulan WhatsApp yang diwujudkan oleh Jabatan Kesihatan MBI dan Pejabat Kesihatan Kinta itu dapat membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi dan membantu menjaga kebersihan persekitaran MBI," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi langkah itu, katanya kes demam denggi di Ipoh mencatatkan penurunan iaitu 223 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 23 Jun lepas berbanding 2,043 kes dengan satu kematian yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Zamri berkata Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Wabak Denggi dengan slogan 'Denggi Adalah Urusan Semua Orang' yang melibatkan semua anggota MBI juga langkah untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes secara berkala dan berterusan.

"Hasil kerjasama semua anggota majlis, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, Persatuan Perubatan Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Jabatan Kesihatan Negeri serta semua agensi kerajaan telah berjaya menurunkan kes denggi pada tahun ini," katanya.

Zamri berkata Program Pematuhan Pembersihan Lot Semak Samun Sendiri (KENDIRI) yang mula diperkenalkan sejak Oktober 2014 telah membantu mengurangkan bilangan aduan dan meningkatkan peratus pematuhan notis oleh pemilik melebihi 80 peratus.

Katanya bagi tempoh 1 Jan hingga 14 Jun, sebanyak 1,092 notis penghapusan kacau ganggu semak samun lot terbiar atau rumah terbiar telah dikeluarkan dan 999 telah mematuhi kadar pematuhan 91 peratus.

Zamri berharap pemilik lot tanah kosong serta pemaju mengambil tindakan proaktif dengan membersihkan tanah milik mereka daripada semak samun secara berkala supaya tiada lagi punca pembiakan nyamuk aedes sekali gus mengekalkan kadar penurunan kes demam denggi.

-- BERNAMA







HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018