Langkah segera tangani penularan HFMD di Pulau Pinang

KUALA SELANGOR, 8 Julai, (Bernama) -- Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia telah diarah menjalankan  siasatan dan langkah segera  bagi mengawal dan menangani jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Pulau Pinang.


Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata arahan yang sama turut dikeluarkan kepada semua pengarah hospital di Pulau Pinang.


"Bahagian Kawalan Penyakit sedang memberi tumpuan terhadap isu ini, usaha yang perlu sekarang adalah elakkan penularannya, difahamkan kini lebih 1,500 kes dilaporkan mengenai penyakit itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Sambutan Aidilfitri peringkat Parlimen Kuala Selangor, di sini, hari ini.


HFMD adalah penyakit disebabkan virus dan antara gejalanya ialah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut serta lidah.


Pada  Jumaat lepas, anggota Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr. Afif Bahardin berkata 1,555 kes HFMD berlaku di negeri berkenaan antara Januari hingga 4 Julai tahun ini berbanding 1,050 kes bagi tempoh sama pada 2017.


Mengulas isu penambahbaikan Klinik 1Malaysia dan Klinik Komuniti, Anggota  Parlimen Kuala Selangor itu berkata kementeriannya masih menilai kriteria dan keperluan kemudahan berkenaan terutama yang berada di luar bandar dan yang mempunyai jumlah pengunjung kurang 50 orang.


Dr Dzulkefly berkata, pihaknya akan semak terlebih dahulu keadaan demografi dan jumlah penduduk bagi membolehkan klinik berkenaan memberikan khidmat kesihatan yang lebih baik.


"Tidak adil jika klinik di kawasan luar bandar ditutup hanya kerana pengunjung kurang 50 orang, perkara ini perlu dikaji semula untuk keperluan orang kampung," katanya.


Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan, pihaknya mahu klinik komuniti ini menjadi satu pusat perubatan keluarga yang lengkap dengan doktor.


"Kita mahu naik taraf keperluan dan kelengkapan di klinik ini agar ia bukan sekadar untuk sakit biasa tetapi untuk keperluan sesuatu keluarga dengan kelengkapan perubatan sempurna," katanya.


-- BERNAMA








HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018