Bernama lancar laman mikro khas kesihatan



KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan melancarkan laman mikro khusus mengenai kesihatan menerusi laman web rasminya, Bernama.Com. esok.



Laman berkenaan akan memberi laluan kepada berita ringkas dan bermaklumat berkaitan kesihatan dan kesejahteraan.



Laman web yang dikenali  sebagai 'HEALTH' itu direka dan dibangunkan oleh Unit Portal Bernama, memandangkan menjaga kesejahteraan dan kesihatan yang optimum penting untuk membina negara yang sihat.



Pusat Pakar Universiti Malaysa (UMSC), pusat perubatan terkenal dalam industri penjagaan kesihatan, akan memainkan peranan bersama Bernama dalam meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan dalam kehidupan seharian mereka.



Masyarakat yang sihat bermula di peringkat individu. Laman web baharu  itu akan menyediakan berita terkini termasuk aktiviti, inisiatif dan program yang dilaksanakan untuk meningkatkan kesihatan.



Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zulkefli Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata: "Kami percaya ramai yang berminat untuk mendapatkan bahan berita yang boleh dipercayai mengenai perubatan dan penjagaan kesihatan. Kerjasama kami dengan UMSC bermakna Bernama boleh membuka ruang yang lebih luas kepada capaian maklumat mengenai pelbagai isu kesihatan yang boleh dipercayai."



Bernama juga menjangkakan sokongan daripada pelbagai pihak yang terlibat di dalam industri penjagaan kesihatan bagi laman web tersebut.



"Kami juga bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan perunding komunikasi, Perception Management Sdn Bhd, dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman mereka dalam kerjasama penting ini," kata Zulkefli.



Ketua Pegawai Eksekutif UMSC Azhar Harun berkata: "Kami bangga dapat memainkan  peranan sebagai rakan strategik utama Bernama untuk berkongsi kepakaran mengenai kesihatan dan perubatan melalui laman mikro khusus ini. Kesihatan kini menjadi cabaran kepada masyarakat kita."



"Di UMSC, menjadi tanggungjawab kami untuk berusaha menjadi rujukan masyarakat dan penyedia kepada penjagaan kesihatan hari ini. Kerjasama ini penting dan bermakna untuk UMSC kerana ia adalah kerjasama pertama kami dengan organisasi media."



"Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini dengan Bernama bagi mewujudkan masyarakat yang sihat ke arah pembangunan negara."



UMSC adalah sebahagian daripada fakulti perubatan Universiti Malaya dan pusat perubatan utamanya. Pusat berkenaan terkenal dengan kepakaran perubatannya dalam menguruskan pesakit, penyelidikan perubatan dan latihan doktor.



Fokus utama laman mikro itu termasuklah wawancara eksklusif bersama pakar perubatan UMSC  mengenai topik seperti kanser, penyakit jantung, penyakit hati, sakit belakang, tulang dan masalah sendi serta penyakit-penyakit khusus untuk lelaki dan wanita. Terdapat juga panduan kesihatan dan kesejahteraan untuk gaya hidup sihat.



Laman khas tersebut boleh dicapai menerusi health.bernama.com.



-- BERNAMA





HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018