HFMD: Dua sekolah di Pulau Pinang ditutup sepenuhnya


GEORGE TOWN, 11 Julai (Bernama) -- Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shih Chung (Cawangan) dan Sekolah Antarabangsa Tenby  di sini ditutup sepenuhnya selepas terdapat jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dalam kalangan muridnya, kata Pengarah  Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah.

Beliau berkata selain dua sekolah itu, enam kelas bagi Tahun Satu  hingga TahunTiga di SJKC Phor Tay turut diarah tutup berikutan terdapat murid dijangkiti HFMD.

"Sebelum ini hanya satu kelas masing-masing di Sekolah Antarabangsa Tenby dan SJKC Phor Tay diarah tutup namun hasil pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri, kami mengambil keputusan untuk menutup sepenuhnya sekolah antarabangsa itu manakala enam kelas di SJKC Phor Tay ditutup sejak semalam.

"SJKC Shih Chung juga ditutup sepenuhnya sejak semalam manakala dua lagi sekolah iaitu SJKC Chung San dan SJKC Sum Sun dikenal pasti terdapat murid dijangkiti HFMD dan pihak kami masih menjalankan pemantauan serta penelitian sebelum mengambil sebarang keputusan (tutup kelas atau sekolah)," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga hari ini sebanyak 18 fasiliti membabitkan 13 taska, sebuah tadika, sebuah pusat jagaan dan tiga sekolah termasuk sekolah antarabangsa itu ditutup 10 hari bagi proses pembersihan berikutan terdapat jangkitan HFMD di premis berkenaan dengan sejumlah 1,679 kes HFMD dilapor di negeri ini sejak Januari hingga hari ini.



Dr Wan Mansor berkata sejak minggu lepas sehingga hari ini, petugas pejabat kesihatan daerah telah menjalankan pemeriksaan di 622 prasekolah, taska, tadika daripada 855 premis yang ada bagi memastikan kanak-kanak di situ bebas daripada jangkitan HFMD dan jika ada mereka diminta mendapatkan rawatan segera.

"Jumlah  murid yang menerima rawatan di hospital masih sama iaitu tiga orang, masing-masing dua di Hospital Pulau Pinang dan seorang di Hospital Seberang Jaya. Keadaan mereka stabil cuma masih ditahan kerana kami perlu lakukan pemantauan," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengambil pelbagai langkah segera bagi membendung penularan HFMD dan terbaru dengan memberi taklimat kepada ibu bapa yang datang mendapatkan rawatan di klinik serta pemberitahuan melalui radio supaya orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr Afif Bahardin mahu pengamal perubatan agar lebih peka terhadap peningkatan kes HFMD dan melaporkan segera kes yang disyaki atau didiagnosis sebagai HFMD.

Beliau berkata penyakit HFMD merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

HFMD ialah satu penyakit yang disebabkan oleh virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

HFMD disebabkan oleh jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh  dan najis pesakit.         

-- BERNAMA








HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018