Kes HFMD meningkat 28 peratus - KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Sebanyak 27,296 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas,  meningkat 28 peratus atau 21,303 kes berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata bilangan kes di 12 negeri telah melepasi paras amaran kecuali di Johor, Sabah dan Sarawak. 

"Paras amaran adalah purata bilangan kes HFMD untuk lima tahun kebelakangan dan nilainya berbeza-beza mengikut kes bilangan HFMD bagi setiap negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 341 buah taska, tadika, tabika dan prasekolah di seluruh negara telah melaporkan kluster HFMD di premis mereka iaitu 50 peratus daripada jumlah wabak yang dilaporkan pada tahun ini.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (E71) yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.



Antara gejalanya ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki serta ulser pada mulut dan lidah.

Dr Noor Hisham berkata survelan virus HFMD juga mendapati peningkatan aktiviti virus EV71 dalam persekitaran semenjak Mac tahun ini.

"Jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti ensefalitis, edema pulmonari dan miokarditis. Tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit HFMD," katanya.

Dr Noor Hisham berkata ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang mengalami jangkitan perlu mengamalkan langkah pencegahan termasuk tidak membawa mereka ke tempat awam, membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor, mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, menyentuh atau merawat lepuh dan semasa mencuci najis kanak-kanak itu.

-- BERNAMA  








HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2