ISKANDAR PUTERI, 11 Julai (Bernama) -- Ibu bapa diminta agar tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekiranya mempunyai tanda-tanda jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata pihak sekolah pula dinasihatkan supaya tidak menerima murid berkenaan bagi mengelakkan murid-murid lain dijangkiti.
Menurut Dr Sahruddin, ibu bapa dan guru juga boleh menjalankan aktiviti pembersihan atau semburan disinfeksi pada kerusi, meja dan barang mainan anak-anak dan murid-murid mereka.
"Penyakit ini adalah penyakit bawaan virus yang mudah berjangkit, jadi ibu bapa dan guru perlu peka,dan sekiranya ada anak kita yang dijangkiti mereka perlu diisolasikan dan tidak dibawa ke sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak.
Jangkitan juga boleh dihindari dengan cara mencuci tuala badan setiap kali selepas digunakan, mengkuarantin anak murid yang disyaki dijangkiti penyakit berkenaan dan memaklumkan Jabatan Kesihatan sekiranya terdapat murid yang tidak dapat hadir ke sekolah akibat penyakit HFMD," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pertanian Negeri Johor di sini, hari ini.
Dr Sahruddin berkata peringatan itu dibuat kerana Johor merupakan antara negeri yang merekodkan penyakit HFMD yang tinggi pada tahun lepas dengan 1,505 kes.
Pada awal tahun ini hingga hari ini pula 1,812 pesakit telah dijangkiti, peningkatan sebanyak 20.3 peratus daripada angka tahun lepas.
"Kebanyakan kes HFMD di Johor berlaku di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dengan majoriti mangsa adalah kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Sebab itu, ketika ini kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan sedang menjalankan saringan kesihatan di peringkat taska, tadika dan prasekolah dan menyeru orang ramai agar menjaga kebersihan diri dan persekitaran mereka," katanya.
Berkenaan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dicadangkan di kawasan utara Johor, Dr Sahruddin memaklumkan bahawa perkara berkenaan masih dalam peringkat kajian kesesuaian lokasi dan memilih penternak-penternak yang akan terlibat.
"Untuk tahap pertama, kita akan lihat penternak-penternak kecil yang berjaya yang mana mereka ini akan kita berikan insentif untuk mengembangkan perniagaan mereka. Sehingga hari ini, kita telah mengenal pasti 21 ladang satelit yang berpotensi untuk dimajukan.
"Tetapi perkara ini perlu dilaksanakan secara terperinci kerana kita tidak mahu mengulangi kegagalan projek NFC yang terdahulu,"katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN