Jumlah perokok tampil di klinik berhenti merokok Hospital Pulau Pinang meningkat

GEORGE TOWN, 12 Julai (Bernama) -- Jumlah perokok yang tampil secara 'walk-in' di Klinik Berhenti Merokok Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan kaunseling berhenti merokok meningkat sebanyak lima peratus sejak tahun lepas.



Pegawai Pendidikan Kesihatan HPP Alfian Md Zin berkata peningkatan itu menunjukkan perkembangan positif tahap kesedaran masyarakat mengenai bahaya merokok dan asap rokok kepada orang ramai.



"Kebanyakan perokok yang menyertai program di klinik ini berusia 35 hingga 45 tahun dengan nisbah dua daripada lapan orang adalah wanita."



"Ada juga wanita yang menyertai program ini sebagai sokongan kepada suaminya yang juga perokok tegar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus 'Quit Smoking Cessation Update' dan Hari Penghargaan Kepada Bekas Perokok di HPP di ini hari ini. Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah HPP Datuk Dr Norsidah Ismail.



Seramai 49 bekas perokok yang diraikan turut menerima sijil penghargaan berikutan kejayaan mereka berhenti merokok sejak Februari lepas.



Alfian berkata terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti mendorong perokok mendapatkan khidmat kaunseling di klinik berkenaan antaranya ialah inspirasi dengan kejayaan rakan mereka yang sudah berhenti merokok.



"Selain terpaksa berhenti merokok disebabkan faktor kesihatan, harga rokok di pasaran yang semakin meningkat juga mendorong mereka (perokok) meninggalkan tabiat itu," katanya.



Sementara itu, bekas perokok tegar Ismarazi Ismail, 36, yang merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata beliau mula terjebak menghisap rokok sejak mula masuk sekolah menengah iaitu berusia 13 tahun dan boleh menghabiskan sekotak rokok dalam masa sehari.



Katanya beliau nekad untuk berhenti menghisap rokok selepas dimasukkan ke wad kerana disyaki mempunyai masalah jantung dan turut mendapat dorongan isterinya, Faizah Osman.



-- BERNAMA





HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2