Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pensyarah yang mahu dikenali sebagai Christina menghidapi epilepsi sejak sedekad yang lalu.
Wanita berusia 38 tahun itu adalah antara 1 peratus keseluruhan penduduk Malaysia yang didiagnosis dengan penyakit itu yang menyebabkan penghidapnya mengalami konvulsi epilepsi, yang dianggap sesuatu yang negatif berkaitan kerasukan.
Di seluruh dunia, kira-kira 50 juta orang menghidapi epilepsi dengan 80 peratus daripada kes itu dilaporkan berlaku di negara-negara membangun termasuk Malaysia.
Walaupun kadar penghidap penyakit itu agak meluas di negara ini, namun, tahap kesedaran tentang epilepsi masih rendah dalam kalangan orang ramai.
Christina mendapati orang ramai sukar memahami keadaan sebenar dirinya dan berpendapat kurang kefahaman mengenai epilepsi boleh mendatangkan bahaya berikutan salah tanggapan terhadap pesakit berkenaan.
"Atas sebab inilah saya memilih untuk berkongsi kisah saya supaya orang ramai tahu mengenai epilepsi dan faham bahawa epilepsi tidak menentukan diri seseorang itu... ia juga tidak menentukan siapa diri saya, " katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Dr Rio Carla Pineda yang merupakan Ketua Perubatan Kawasan (Sistem Saraf Pusat) di GSK Pharmaceutical plc berkata epilepsi adalah keadaan neurologi di mana seseorang mengalami serangan sawan berulang kali di dalam otak.
Serangan sawan tidak dapat dikawal dengan perubahan secara tiba-tiba dalam aktiviti elektrik otak biasanya dikaitkan dengan konvulsi.
"Bagaimanapun, tidak semua serangan sawan mengakibatkan konvulsi dan simptom tahap keterukannya juga pelbagai.
"Dengan kemajuan terkini dalam rawatan dan pemahaman perubatan mengenai keadaan ini, pesakit yang menghidapi epilepsi boleh menjalani kehidupan yang sangat normal, " kata Dr Pineda, yang berpejabat di Manila, Filipina, dalam temu bual menerusi e-mel.
MENJALANI KEHIDUPAN NORMAL
Christina yakin bahawa dengan ubat-ubatan yang betul serta sesi kaunseling, pesakit epilepsi boleh menjalani kehidupan yang normal.
Beliau sendiri, walaupun dalam keadaan itu, berjaya menghabiskan pengajian ijazahnya dan bekerja sebagai pensyarah sejak lebih 10 tahun lalu.
"Saya belajar menyesuaikan diri dengan keadaan ini, memahami bahawa saya perlu patuh dengan gaya hidup yang mampu saya uruskan, " katanya sambil memberitahu bahawa selain ubat-ubatan, penting bagi pesakit untuk menerima keadaan masing-masing dan berkongsi cabaran yang dihadapi.
Sistem sokongan yang sesuai dan komuniti yang sangat memahami juga memainkan peranan penting.
"Apabila saya dikelilingi suasana yang positif, pastinya saya turut positif dan ia menjadikan lebih mudah untuk saya menghadapi cabaran, " kata Christina, yang masih bujang.
SERANGAN PERTAMA
Christina diserang episod pertama epilepsi 10 tahun lalu ketika sibuk membantu ibu bapanya membuat persediaan menyambut Krismas.
"Tiba-tiba, saya pengsan. Saya sangka ia disebabkan keletihan akibat terlalu sibuk membuat bermacam-macam persediaan menjelang cuti perayaan itu. Saya tidak tahu bahawa saya baru sahaja mengalami serangan sawan pertama, " katanya.
Serangan sawan kedua berlaku setahun kemudian apabila beliau menghadapi cabaran agak getir di tempat kerjanya.
Christina kemudian menyedari bahawa serangan sawan itu serentak dengan peningkatan stres yang dialaminya.
"Malangnya, sekali tercetus epilepsi, keadaan seseorang itu tidak dapat kembali seperti sedia kala.
"Saya masih teringat betapa saya berada dalam keadaan penafian bahawa serangan sawan tidak akan berlaku lagi tetapi serangan berikutnya adalah lebih teruk daripada sebelum itu, " katanya.
Pemeriksaan perubatan menunjukkan Christina menghidapi 'sclerosis hippocampal' kiri, di mana parut di otaknya menjadi punca epilepsi.
Setelah didiagnosis, beliau dirujuk ke sebuah hospital tetapi ia tidak mempunyai pakar neurologi untuk mengesyorkan rawatan terbaik untuknya.
Beliau dirujuk kepada seorang doktor diikuti doktor lain dan beberapa doktor lagi sehinggakan beliau merasakan amat sukar baginya mendapatkan bantuan sewajarnya.
RAWATAN YANG BETUL
Nasibnya berubah setelah mengalami serangan sawan yang sangat buruk semasa sesi latihan di tempat kerja. Seorang lelaki memberitahu beliau mengenai pengalamannya yang pernah mengalami serangan sawan epilepsi.
Lelaki itu juga berkongsi maklumat mengenai pakar neurologinya, yang kemudiannya merawat Christina. Akhirnya, Christina boleh menguruskan epilepsinya dengan betul.
"Bukan sahaja saya dirujuk kepada seorang pakar yang boleh memberi rawatan sesuai yang diperlukan malah, ia memberi kesedaran bahawa bukan saya sahaja yang mengalami serangan sawan dan perlu berkorban.
"Pertemuan dengan seorang yang berjaya menghadapi keadaannya memberikan harapan bahawa saya juga boleh melakukannya, " kata Christina.
Perubatan yang diberikan telah membantu mengurangkan serangan sawan yang teruk dan kini beliau tidak lagi pengsan atau pitam.
"Saya akan berehat seketika dan tiada sesiapa yang sedar jika saya merasa akan diserang epilepsi, " katanya, sambil menjelaskan bahawa beliau juga mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan tidak membebankan dirinya dengan kerja atau tekanan.
MEMAHAMI EPILEPSI
Sementara itu, Dr Pineda berkata beberapa faktor boleh mencetuskan episod serangan sawan epilepsi dalam kalangan pesakit.
Antara pencetus utama yang dilaporkan adalah kurang tidur, pengambilan alkohol, penggunaan dadah haram, stres, hipoglisemia (gula darah rendah), demam dan penggunaan ubat-ubatan tertentu.
"Bagi sesetengah pesakit, pancaran cahaya atau corak, perubahan hormon semasa kitaran haid atau pada masa-masa tertentu boleh mencetuskan serangan sawan epilepsi, " katanya.
Beliau menerangkan bahawa sesetengah pesakit mungkin mengalami tanda amaran seperti perasaan 'déjà vu', kurang perhatian, bau getah terbakar, rasa malapetaka akan menimpa, ketakutan, kebimbangan, berdebar-debar, bunyi deringan dalam telinga atau pening.
Antara pilihan yang digunakan untuk mengawal serangan sawan adalah ubat-ubatan, perubahan diet dan rawatan pembedahan, termasuk implantasi peranti.
"Sebelum memulakan sebarang bentuk rawatan, hendaklah mempertimbangkan pelbagai faedah dan risiko rawatan serta mengadakan perbincangan antara doktor dan pesakit, " katanya.
Seseorang penghidap epilepsi mungkin mengalami serangan sawan pada bila-bila masa, dengan ada kalanya kelihatan dramatik namun, ia lazimnya bukanlah keadaan kecemasan perubatan.
"Serangan sawan biasanya terhad pada diri pesakit itu sendiri, jadi sebaiknya bertenang dan sentiasa berfikir yang baik-baik sekiranya anda menyaksikan seseorang yang kena serangan sawan epilepsi, " pesan beliau.
---------------------------------------------------------------------------------
RUANG SISI
CARA MENANGANI SERANGAN SAWAN
Melihat seseorang yang menghidapi epilepsi diserang sawan boleh menakutkan kerana ada di antara mereka yang tergigit lidah sendiri selain wajah mereka menyentap. Selain itu, ada yang mengalami sentakan otot atau tidak sedarkan diri.
Berikut adalah beberapa garis panduan tentang cara seseorang boleh membantu pesakit ketika mengalami serangan, seperti yang dikongsi oleh Dr Pineda:
Bertenang.
Periksa sama ada pesakit berada di tempat yang selamat. Jika tidak, ubah kedudukannya atau ubah objek terdekat yang mungkin boleh mencederakan pesakit itu.
Perhatikan masa serangan sawannya bermula. Sekiranya serangan berlangsung lebih daripada lima minit, hubungi ambulans atau pasukan kecemasan.
Alas kepala pesakit itu dengan kusyen atau sesuatu yang lembut jika dia telah jatuh ke tanah/lantai.
Jangan pegang pesakit itu.
Jangan letakkan apa-apa di dalam mulut pesakit.
Jangan tinggalkan pesakit sendirian selagi mengalami serangan sehinggalah dia benar-benar sedarkan diri. Selepas serangan berakhir, bantu pesakit untuk duduk di tempat yang selamat. Sebaik sahaja dia tersedar dan dapat berkomunikasi, beritahu apa yang berlaku dengan cara paling mudah.
Tenangkan dan cakap dengan pesakit.
Periksa jika pesakit itu memakai gelang perubatan atau mempunyai maklumat kecemasan lain.
Selepas serangan berhenti, perlahan-lahan bantu pesakit itu agar berada dalam kedudukan pemulihan dan periksa sama ada pernafasannya kembali normal. Periksa mulut dan pastikan tiada apa yang menyekat saluran pernafasan seperti makanan atau gigi palsu. Jika kedengaran pernafasannya sukar selepas serangan berhenti,hubungi ambulan.
Sekiranya pesakit kelihatan pulih sepenuhnya selepas serangan itu, bantunya untuk menelefon teksi atau orang lain dikenalinya bagi memastikan pesakit itu pulang ke rumah dengan selamat.
Diterjemahkan oleh Sarimah Othman
BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN