Penting Untuk Doktor Mempunyai Perlindungan Insurans

Oleh Cecilia Jeyanthi Victor


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pengamal perubatan adalah golongan profesional yang amat disegani yang bekerja keras untuk menyelamatkan nyawa serta memberi rawatan kepada mereka yang sakit


Bagaimanapun, mereka juga juga manusia biasa yang boleh melakukan kesilapan.


Sebarang kesilapan dalam membuat keputusan atau kecuaian boleh menyebabkan mereka berdepan dengan tuntutan saman yang besar.


Risiko ini yang menyebabkan doktor sering diingatkan supaya mempunyai perlindungan pengamal perubatan bagi melindungi mereka sekiranya berdepan dengan tuntutan saman akibat kecuaian atau perlanggaran tugas.


Berdasarkan pindaan yang dibuat pada 2017 ke atas Akta Perubatan (Pindaan) 2012 dan Peraturan Perubatan 2017, para doktor perlu mempunyai insurans perlindungan profesional serta menghadiri kursus pendidikan bagi meningkatkan tahap kemahiran mereka sebelum boleh memperbaharui sijil pengamal perubatan.


Insurans perlindungan profesional akan dikuatkuasakan pada 1 Jan 2019.


Menurut Ali Chaudhry, pengarah urusan Jardine Lloyd Thompson, (syarikat broker insurans serta perunding), kos penjagaan perubatan dan faktor risiko berkaitan kesilapan perubatan semakin meningkat.


"Sekarang ini orang boleh memperolehi banyak maklumat mengenai hak mereka sebagai pesakit. Ini menyebabkan lebih ramai pesakit mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor kerana kecuaian.


"Untuk itu, amat penting untuk semua doktor terutamanya pakar mempunyai insurans perlindungan, " beliau memberitahu Bernama, sewaktu ditemui di Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.




TIDAK PEKA RISIKO SAMAN


Chaudhry berkata memandangkan pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) menghadapi risiko kecuaian perubatan yang lebih tinggi, premium insurans perlindungan itu juga lebih tinggi untuk mereka.


"Tuntutan insurans tertinggi dibayar dalam bidang O&G sekitar RM5 juta hingga RM6 juta, " kata Chaudhry yang sudah terlibat dalam industri insurans selama 30 tahun.


Apabila ditanya sama ada sukar untuk menyakinkan pengamal perubatan membeli insurans perlindungan yang tinggi kosnya, beliau mengakui sememangnya ia bukan satu perkara yang mudah.


Menurut beliau, doktor kerajaan secara automatiknya mempunyai perlindungan insurans tetapi mereka yang di sektor swasta perlu membeli sendiri insurans perlindungan profesional.


Beliau berkata ada kes doktor yang tidak sedar tuntutan saman kecuaian telah dikemukakan terhadap mereka.


Hanya selepas beberapa tahun kemudian, baharu mereka tahu, malah ada yang selepas 10 tahun apabila kes dibawa ke mahkamah.


"Ada kes yang mengambil masa bertahun-tahun untuk selesai sementara ada yang dapat diselesaikan dalam masa beberapa bukan sahaja, " tambahnya.


Bekas presiden MMA, Dr Ravindran Naidu, apabila dihubungi berkata memang penting untuk setiap doktor mempunyai insurans perlindungan kerana ia bukan sahaja melindungi doktor tetapi juga pesakit.


Ditanya sama ada premium insurans boleh diturunkan premiumnya, beliau berkata MMA sedang cuba berbincang dengan broker insurans berkenaan untuk mendapatkan harga terbaik untuk doktor berkenaan.


"Apabila dikuatkuasakan untuk semua doktor mempunyai perlindungan insurans (1 Jan tahun depan), semua doktor mesti mengambil insurans itu, " katanya.


Carian yang dibuat ke atas laman sesawang beberapa syarikat insurans menunjukkan premium tahunan untuk skim perlindungan insurans pengamal perubatan untuk doktor adalah dari kira-kira RM1,000 hingga RM3,000; pakar yang mengendalikan kes berisiko rendah, kira-kira RM1,600 hingga RM5,100; risiko pertengahan, kira-kira RM3,200 hingga RM10,200; dan risiko tinggi, kira-kira RM11,000 hingga RM48,000.



KECUAIAN AKIBAT KEROSAKAN TEKNOLOGI



Bekas presiden Medico-Legal Society of Malaysia (MLSM), Datuk Dr NKS Tharmaseelan berkata sebelum ini ada doktor yang menjadi muflis setelah disaman dan terpaksa membayar tuntutan yang tinggi.


Menurut beliau ramai juga doktor yang berhenti daripada menjadi pengamal perubatan kerana tekanan akibat tuntutan saman yang turut menjejaskan nama baik mereka.


Sementara itu, Chaudhry berkata , perkembangan teknologi perubatan boleh mengurangkan potensi risiko kecuaian serta kesilapan. Bagaimanapun, beliau menambah perkembangan berkenaan boleh mencetuskan akibat yang lagi buruk sekiranya berlaku kerosakan peralatan.


"Pada masa depan, semua dalam sektor perubatan akan beroperasi secara elektronik. Umpamanya, hospital akan mempunyai loceng kecemasan elektronik untuk memantau pesakit di ICU (Unit Rawatan Rapi). 


"Kita ada manusia (doktor) yang dibantu teknologi, tetapi apa yang akan berlaku sekiranya ia (teknologi) tiba-tiba rosak?".


Beliau menambah terdapat juga keperluan untuk mengkaji bentuk perlindungan yang diperlukan untuk membantu melindungi pengamal perubatan sekiranya berlaku kecuaian perubatan akibat kerosakan teknologi.


Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018