KUALA LUMPUR,19 Julai (Bernama) -- Beberapa inisiatif baharu akan dilaksana untuk memendekkan tempoh menunggu graduan perubatan bagi menjalani latihan siswazah (housemanship) termasuk menambah bilangan hospital latihan siswazah, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata mengikut perancangan kementerian, sebanyak lapan buah hospital sedia ada dalam proses penelitian untuk dijadikan hospital latihan siswazah dalam tempoh dua tahun akan datang.
Kementerian juga mengkaji perancangan untuk membenarkan pegawai perubatan siswazah (PPS) yang berprestasi tinggi menamatkan latihan mereka lebih awal daripada tempoh latihan dua tahun yang ditetapkan, katanya.
Katanya buat masa ini, tempoh menunggu untuk menjalani latihan siswazah di hospital kerajaan adalah antara lapan hingga 11 bulan selepas mereka berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Menjawab soalan lisan Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata hanya 67.1 peratus PPS sahaja yang berjaya menamatkan latihan siswazah dalam tempoh dua tahun manakala 32.9 peratus PPS lagi mengambil masa yang lebih lama akibat faktor peribadi dan kompetensi.
"Ini menyebabkan berlakunya backlog oleh kerana slot-slot latihan sedia ada mengambil masa yang lebih lama untuk dikosongkan," katanya.
Dr Dzulkefly juga berkata dalam pada itu keutamaan juga akan diberi kepada PPS Kontrak yang berjaya menamatkan latihan siswazah dalam tempoh dua tahun untuk diserap masuk sebagai Pegawai Perubatan lantikan tetap.
"Ini bagi memberi insentif kepada PPS sedia ada untuk meningkatkan prestasi agar tamat dalam tempoh dua tahun," katanya.
Mengenai isu penyerapan ke dalam perkhidmatan, Dr Dzulkefly berkata kementerian telah mengubah pelaksanaan pelantikan graduan perubatan secara tetap kepada lantikan secara kontrak mulai Disember 2016.
"Melalui pendekatan ini, semua graduan perubatan boleh dilantik tanpa tertakluk kepada kekosongan jawatan tetap. Sehingga 25 Jun, 2018, seramai 9,058 graduan perubatan dilantik secara kontrak bagi tempoh dua tahun," katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN