Tiada kematian akibat HFMD dilaporkan di Pulau Pinang setakat ini
GEORGE TOWN, 19 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang hari ini menafikan dakwaan ada kematian disebabkan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin berkata mereka tidak akan menyembunyikan perkara itu jika benar ia berlaku.
"Setakat sekarang kita tidak mencatatkan sebarang kematian akibat kes HFMD. Jika ada kita akan laporkan kepada media," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau mengulas perkongsian menerusi aplikasi WhatsApp semalam yang mendakwa terdapat kematian akibat HFMD di negeri ini.
Mengulas lanjut, Dr Afif berkata sebanyak 2,170 kes HFMD dilaporkan dari Januari sehingga semalam iaitu peningkatan 100.2 peratus atau 1,084 kes bagi tempoh sama tahun lepas dan 97 kluster ditutup dari awal tahun hingga semalam berbanding hanya lapan bagi tempoh sama pada 2017.
Katanya setakat ini sebanyak 35 premis masih ditutup membabitkan tujuh sekolah rendah, taska (9), tadika (11), prasekolah (7) dan sebuah pusat jagaan.
"Daripada tujuh sekolah rendah itu hanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shih Chung yang ditutup sepenuhnya manakala enam sekolah yang lain hanya membabitkan beberapa kelas."
"SJKC Sum Sun sebanyak sembilan kelas ditutup, SJKC Chong Cheng 11 kelas, sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap, SJKC Sum Min 1 empat kelas dan masing-masing tiga kelas di SK Saujana Indah dan SJKC Moh Gee Pusat," katanya.
Dr Afif berkata sehingga semalam, tiga kanak-kanak masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan hospital swasta berikutan dijangkiti HFMD.
Sehubungan itu beliau mengingatkan ibu bapa, pihak sekolah dan pusat jagaan agar memastikan tahap kebersihan kanak-kanak dan persekitaran menjadi keutamaan bagi mengawal penularan wabak tersebut.
"Pesakit boleh sembuh sendiri dalam tempoh tujuh ke 10 hari. Majoriti pesakit pulih sendiri hanya perlukan kuarantin dan juga perlukan rehat yang secukupnya," katanya.
HFMD ialah satu penyakit disebabkan virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).
HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 serta Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.
-- BERNAMA