KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Influenza, sejenis penyakit berjangkit yang boleh menimbulkan pelbagai komplikasi dan membawa kematian, tidak harus dipandang ringan kerana ancamannya sentiasa wujud terhadap kumpulan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak dan warga tua.
Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), Prof Dr Zamberi Sekawi berkata golongan paling terkesan ialah kanak-kanak di bawah usia lima tahun, wanita hamil, warga tua berusia lebih 65 tahun serta jemaah haji dan umrah.
Selain itu penghidap penyakit pernafasan seperti asma serta penyakit obstruktif pulmonarikronik (COPD) dan juga mereka dengan penyakit kronik seperti diabetis dan jantung, katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Justeru, Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal dan Profesor Mikrobiologi Perubatan itu menyarankan agar setiap individu melindungi diri dengan mendapatkan vaksin terhadap flu sekurang-kurangnya dua minggu sebelum memulakan perjalanan.
"Jemaah haji khususnya patut mendapatkan vaksin influenza. Jangkitan saluran pernafasan diketahui sebagai penyakit yang paling mudah merebak semasa musim haji.
"Golongan dewasa boleh membuat pilihan gaya hidup yang membawa kepada perlindungan kesihatan lebih baik untuk diri sendiri, keluarga dan sebagai penjaga menerusi perbincangan dengan doktor seterusnya menambah ilmu tentang pemvaksinan," katanya.
Beliau berkata pemvaksinan dapat mengurangkan kesan penyakit terhadap masyarakat terutamanya mereka yang berisiko tinggi sekali gus menyelamatkan berjuta-juta nyawa setiap tahun.
"Lebih ramai rakyat Malaysia divaksinkan, lebih tinggi peluang untuk menjauhkan penyakit ini," katanya.
Terdahulu, satu sesi dialog media diadakan untuk membincangkan kelaziman penyakit influenza di negara ini. Sesi itu disampaikan MSIDC dengan sokongan firma farmaseutikal Sanofi Pasteur.
Panel itu dianggotai Prof Dr Zamberi; Pakar Runding Pediatrik dan Neonatalogi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Pakar Perunding Geriatrik, Prof Dr Tan Maw Pin dan Pakar Perunding Kanan Perubatan Pernafasan, Prof Madya Dr Pang Yong Kek.
Pada masa sama, MSIDC turut melancarkan Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG) yang bertujuan untuk menangani isu penting meliputi empat bidang utama iaitu pemantauan, dasar dan garis panduan, sokongan dan pendidikan serta penyelidikan.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN