Kemudahan penjagaan kesihatan tarik pelancong ke Sarawak

Gambar fail


SIBU, 21 Julai (Bernama) -- Kemudahan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi ditawarkan hospital-hospital swasta menjadi tarikan terbaru yang  menyumbang terhadap peningkatan kedatangan pelancong  kesihatan ke Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata, menurut kalangan pelancong penjagaan kesihatan, selain kualiti perkhidmatan rawatan berkualiti tinggi yang setanding di Singapura, harga ditawarkan hospital-hospital swasta di Sarawak juga adalah berpatutan. 

Terdapat  peningkatan jumlah kedatangan pelancong dari negara jiran Indonesia terutama Kalimantan yang datang mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan di hospital-hospital swasta di negeri ini, katanya tanpa  menyatakan jumlahnya secara spesifik.

"Jumlah  keseluruhan pelancong datang ke Sarawak (pada tahun lepas) mencecah 4.8 juta orang," katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Borneo (BCF) anjuran Majlis Perbandaran Sibu (SMC) di Dataran Sibu  di sini, malam tadi. BCF berlangsung  dari 19 hingga 28 Julai.

Abang Johari berkata beliau yakin jumlah pelancong akan terus meningkat berikutan selain  kualiti perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan yang ditawarkan hospital-hospital swasta di Sarawak termasuk di Sibu, Sarawak turut menawarkan pelbagai destinasi menarik serta pelbagai kebudayaan yang unik.



Beliau berkata, selain itu jumlah pelancong dari China berkunjung ke Sarawak kini  turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan berikutan terdapat penerbangan terus antara bandar Shenzen dan Kuching.

Katanya, kerajaan negeri  sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia untuk mengadakan lebih banyak penerbangan terus dari luar negara ke bandar-bandar  utama Sarawak termasuk  Sibu bagi menarik lebih ramai lagi pelancong berkunjung ke negeri ini.

"Sarawak mempunyai kepelbagaian kebudayaan bukan sahaja dari segi pakaian tetapi juga yang menjadi tarikan pelancong sekarang ialah makanan tempatan. Ramai pelancong ingin merasai pengalaman bukan setakat menikmat keenakan malah turut berpeluang menyediakan makanan tersebut.

"Ini adalah satu-satu cara untuk kita memberi peluang kepada para pelancong merasai sendiri pengalaman menyediakan makanan tempatan," katanya.

Abang Johari  berkata, Sarawak sememangnya terkenal dengan keunikan serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan merupakan model kepada negeri-negeri lain di negara ini terutama dari segi perpaduan kaum.



"Di sebalik perbezaan kebudayaan, agama dan latar belakang kaum kita boleh tinggal dalam satu keluarga besar. Kita boleh hidup dalam keadaan aman serta tenteram. Ini adalah satu keistimewaan yang ada pada Sarawak dan kita harus mempertahankan keistmewaan ini.

"Dalam kita membangunkan Sarawak, kita tidak lupa mempertahankan khazanah budaya kita yang begitu kaya di Sarawak," katanya sambil menambah kerajaan negeri akan meningkatkan kemudahan-kemudahan industri pelancongan termasuk di taman-taman negara di negeri ini.

Sementara itu, Abang Johari memuji SMC atas kejayaan menganjurkan BCF setiap tahun yang mengetengahkan keunikan kepelbagaian kebudayaan masyarakat pelbagai kaum yang telah berjaya menarik minat selain masyarakat setempat malah pelancong antarabangsa.

-- BERNAMA








HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2