Kes baharu HFMD di P.Pinang menurun



GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang merekodkan penurunan ketara dalam tempoh tiga hari sejak Khamis lalu berbanding tempoh sama  minggu  sebelumnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin.



Beliau berkata sebanyak 181 kes HFMD dicatatkan dalam tempoh itu berbanding hampir 400 kes dalam tempoh sama minggu sebelumnya.



"Pada Khamis jumlah kes HFMD di Pulau Pinang direkodkan sebanyak 78 kes, Jumaat (52) dan Sabtu sebanyak 51 kes. Walaupun terdapat penurunan kes dalam tempoh tiga hari itu, secara kumulatif sehingga 21 Julai lepas sebanyak 2,341 kes dilaporkan dari Januari berbanding 1,099 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar 'Penang Durian Fest 2018', di sini hari ini.



Beliau berkata setakat ini sebanyak 30 premis masih ditutup membabitkan kelas-kelas murid dijangkiti HFMD di enam sekolah rendah, taska (7), tadika (10), prasekolah (6) dan sebuah pusat jagaan.



"Tiada sekolah yang ditutup sepenuhnya ketika ini. Walaupun jumlah  premis yang masih ditutup ialah 30 premis, ia bukan premis baharu  cuma bertindih dan yang terakhir ditutup ialah pada Jumaat lepas membabitkan dua taska di Timur Laut," katanya.



Dr Afif berkata ketika ini seramai sembilan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD masih dirawat di hospital membabitkan tujuh di hospital swasta dan masing-masing seorang di Hospital Pulau Pinang serta Hospital Seberang Jaya dengan masing-masing adalah stabil.



Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sentiasa melakukan pemeriksaan di sekolah, tadika, taska dan pusat jagaan kanak-kanak termasuk pusat permainan di dalam pasar raya dan pusat beli-belah yang terdapat di negeri ini bagi memastikan tiada penularan kes HFMD.



Katanya setakat ini tiada polisi untuk JKNPP menutup tempat permainan di dalam pasar raya dan pusat beli-belah bagaimanapun pihaknya menggalakkan operator di premis berkenaan membuat pembersihan berkala bagi memastikan peralatan permainan sentiasa dalam keadaan bersih.



HFMD ialah satu penyakit disebabkan virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).



HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 serta Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.



Sementara itu, Dr Afif berkata Penang Durian Fest akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Dataran Mydin bermula 10 pagi hingga 10 malam dengan 10,000 tan raja buah itu akan dijual kepada orang ramai.



"Kami turut menganjurkan kenduri durian iaitu dengan bayaran RM15 untuk orang ramai menikmati durian di situ serta pelbagai buah-buahan lain. Orang ramai dijemput untuk datang bagi menikmati durian ori Pulau Pinang," katanya.



-- BERNAMA








HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2