HFMD: Majikan diminta beri kelonggaran kepada pekerja

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kerajaan meminta kerjasama semua majikan termasuk sektor swasta untuk memberi kelonggaran kepada pekerja sekiranya anak mereka disahkan menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata ia bagi membolehkan pekerja bekerja dari rumah atau dibenarkan bercuti untuk menjaga anak berkenaan.

"Saya fikir majikan perlu  bertimbang rasa, kalau tidak ibu bapa akan rasa serba salah dan tetap hantar anak ke sekolah atau taska sedangkan anak mereka (perlu) dijaga (kuarantin) di rumah agar wabak ini tidak berterusan merebak," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hannah turut meminta agar semua pusat beli-belah sentiasa memastikan kebersihan segala kemudahan yang disediakan termasuk troli, untuk membasmi kuman dan mengelak risiko dijangkiti wabak HFMD.



Timbalan menteri itu menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah waspada ketika berada di tempat awam serta mengurangkan aktiviti luar bersama keluarga pada waktu ini.

Wabak HFMD yang sebelum ini menular dalam kalangan pelajar sekolah di Pulau Pinang, Kedah dan Pahang dilaporkan mula merebak ke ibu kota apabila sebuah  kelas di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2 di sini diarah tutup dan kesemua 36 muridnya diberi cuti 10 hari selepas empat daripada mereka dijangkiti HFMD.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan, 35,886 kes kumulatif wabak itu direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 23 Julai tahun ini.

-- BERNAMA

 








HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018