Disfungsi Erektil Petanda Sakit Jantung
Pakar Urologi Pusat Pakar UM (UMSC) Profesor Madya Dr Ong Teng Aik (kiri) dan Pakar Kardiologi Intervensi UMSC Dr Ramesh Singh Veriah selepas ditemu bual Bernama mengenai disfungsi erektil di pusat tersebut baru-baru ini. -- fotoBERNAMA oleh Zulaikha Zainuzman
Oleh Salbiah Said
Ini yang pertama daripada dua bahagian rencana mengenai Disfungsi Erektil (ED).
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Disfungsi erektil (ED) merupakan masalah kesihatan yang menjejaskan kehidupan seksual berjuta-juta lelaki di seluruh dunia. Keadaan ini boleh menjadi petanda atau amaran awal berkaitan penyakit jantung, kata pakar perubatan.
Pakar Kardiologi Intervensi UMSC Dr Ramesh Singh Veriah berkata disfungsi erektil menjadi semakin teruk dengan peningkatatan usia selain ia berkait rapat dengan penyakit jantung. --fotoBERNAMA oleh Zulaikha Zainuzman
Pakar Urologi Pusat Pakar UM (UMSC) Profesor Madya Dr Ong Teng Aik berkata: “Jika seseorang lelaki itu mengalami ED, dia tidak boleh mengabaikan tentangnya. Ia boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan lebih serius, yang bukan sahaja melibatkan zakar tetapi juga jantung atau otak.
"ED menyukarkan pengaliran darah ke zakar. Untuk membolehkan lelaki mengalami ketegangan ereksi secukupnya, darah yang mencukupi perlulah disalurkan ke zakar," katanya kepada Bernama semasa ditemu bual di UMSC.
Sekiranya darah kurang disalurkan ke organ tertentu, maka organ berkenaan akan menghadapi masalah.
"Jika darah kurang disalurkan ke zakar, seseorang lelaki itu akan mengalami ED dan jika darah kurang disalurkan ke jantung, dia mungkin mengalami serangan jantung. Sekiranya kurang bekalan darah ke otak, dia boleh diserang angin ahmar, " jelasnya.
INSIDEN ED
ED berlaku akibat peningkatan usia dan lazimnya dialami mereka yang sudah berusia, kata Dr Ong, yang memetik kajian saintifik bandar-luar bandar yang dilakukan beliau dan pasukannya di Malaysia pada 2008 dengan melibatkan 350 orang dewasa.
Tujuh puluh peratus daripada responden itu, yang berumur di antara 50 hingga 60 tahun, mengalami ED.
Daripada mereka yang mengalami ED itu, sebanyak 30 peratus diklasifikasikan sebagai ringan, 20 peratus sederhana dan 15 hingga 20 peratus dalam kategori teruk.
Pakar Urologi Pusat Pakar UM (UMSC) Profesor Madya Dr Ong Teng Aik (kanan) dan Pakar Kardiologi Intervensi UMSC Dr Ramesh Singh Veriah selepas ditemu bual Bernama mengenai disfungsi erektil di pusat tersebut baru-baru ini. -- fotoBERNAMA oleh Zulaikha Zainuzman
Pakar Kardiologi Intervensi UMSC Dr Ramesh Singh Veriah berkata ED menjadi semakin teruk dengan peningkatan usia selain ia berkait rapat dengan penyakit jantung.
"Janganlah keliru antara ED atau mati pucuk dengan libido (nafsu berahi) atau keinginan mendesak. Ramai yang mempunyai libido atau keinginan mendesak untuk melakukan hubungan seksual, tetapi mereka tidak dapat mengekalkan ketegangan ereksi dengan secukupnya," katanya kepada Bernama semasa temu bual itu.
Beliau berkata kebanyakan pesakitnya yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung pasti bertanya tentang apa yang akan berlaku kepada gaya hidup mereka nanti, hubungan dengan pasangan atau sama ada mereka boleh bersukan.
PESAKIT BERISIKO TINGGI
Ini mendorong Dr Ramesh dan pasukannya untuk menjalankan kajian pada 2005 di pusat itu, yang kemudiannya dibentangkan di Washington pada 2008.
Daripada kajian terhadap 510 pesakit lelaki berisiko tinggi yang berumur di antara 36 hingga 92 tahun dan mempunyai penyakit jantung, sebanyak 90 peratus didapati mengalami ED.
"Dua pertiga daripada mereka sebenarnya menyatakan bahawa ED penting untuk menjalani kehidupan (seksual) yang memuaskan. Berdasarkan sejarah kesihatan mereka, masalah ED bermula sebelum mereka menghidapi penyakit jantung," kata Dr Ramesh.
Beliau berkata gangguan seksual tidak memberi kesan langsung kepada jantung kerana ia mungkin berlaku akibat sebab lain termasuk trauma pada tulang belakang, ubat-ubatan tertentu yang boleh menjejaskan kumpulan umur lebih muda serta mereka yang mengalami masalah psikologi.
Serangan jantung mempunyai kaitan dengan saluran darah ke jantung manakala serangan angin ahmar pula berkaitan dengan saluran darah ke otak. Semua saluran darah bersaiz kecil.
"Faktor risiko seperti diabetis, tekanan darah tinggi, kadar kolesterol tinggi, merokok dan obesiti menyumbang kepada pembentukan lemak atau plak di dalam saluran darah," kata Dr Ramesh.
ATHEROSKLEROSIS
Dr Ramesh berkata jika lemak mula terbentuk di dalam saluran darah atau apa yang disebut sebagai aterosklerosis, perfusi aliran darah ke organ seperti zakar akan berkurangan dan pesakit boleh mengalami disfungsi erektil.
Atherosklerosis adalah gangguan umum yang menjejaskan arteri organ-organ pada kadar yang sama.
"Kadang kala anda mungkin tidak tahu yang ia mula terbentuk secara perlahan-lahan di dalam jantung. Apa yang sebenarnya berlaku adalah pesakit-pesakit ini akhirnya menunjukkan beberapa simptom selepas bertahun-tahun mengalami ED," jelasnya.
Dr Ramesh menerangkan bahawa apabila jantung tersumbat kira-kira 70 peratus atau lebih, pesakit mula merasa sesak nafas atau mengalami sakit dada.
"Secara puratanya, ED mendahului penyakit jantung dalam masa kira-kira tiga tahun. Ramai pesakit yang jantungnya tersumbat sering mengalami serangan jantung secara tiba-tiba dan ini dapat dicegah jika kita dapat menyaring mereka yang mengalami pra-ED. Walaupun ED tidak membunuh, tetapi penyakit jantung boleh menyebabkan kematian," tegasnya.
KEMATIAN
Dr Ramesh juga memberitahu bahawa jika pesakit mempunyai ED, doktor akan memeriksa sama ada jantungnya dalam keadaan baik. Pemeriksaan itu mudah dan kos efektif serta dapat mencegah kematian dan kehilangan pendapatan akibat serangan jantung.
"Sebaik sahaja seseorang diserang sakit jantung, dia mungkin mengalami kegagalan jantung. Walaupun selamat, kehidupan peribadinya mungkin terjejas malah dia mungkin tidak dapat bekerja dan mencari nafkah untuk keluarga,” katanya.
ED tidak menyebabkan penyakit jantung. "Mekanisme bagaimana ED berlaku atau bagaimana serangan jantung atau angin ahmar terjadi adalah berkaitan dengan aterosklerosis." Mengenai sama ada ED juga mempunyai kaitan dengan penyakit lain, Dr Ramesh berkata kebanyakan pesakit mempunyai apa yang dikenali sebagai morbiditi bersama. Mereka mudah menghidapi penyakit diabetis, tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi.
"Kami dapati selepas mereka yang mengalami ED menjalani ujian darah, barulah mereka tahu yang mereka menghidapi diabetis atau tekanan darah tinggi.
"Secara umumnya mereka sakit dan berpotensi menjadi lebih sakit berbanding orang lain. Adanya ED menunjukkan keadaan kesihatan yang tidak baik," kata beliau.
MENDERITA BERTAHUN-TAHUN LAMANYA
Dr Ong berkata: "Ramai pesakit yang menderita bertahun-tahun lamanya. Mereka mula mengalami ED sebelum mengetahui yang mereka juga menghidapi penyakit jantung. Jadi, jika kita dapat mengenal pasti pesakit-pesakit ini, kita dapat membantu mereka lebih awal. Inilah mesej utama kami.”
Ditanya sama ada ED memberi kesan kepada golongan muda, beliau berkata insiden itu rendah kerana mereka tidak mengalami manifestasi penyakit saluran darah pada usia muda seperti aterosklerosis.
"Hakikatnya, mereka masih muda...penyakit ini mengambil masa untuk berlaku. Tetapi mereka boleh mengalami ED untuk sebab lain seperti tekanan psikologi, kemurungan dan masalah hubungan dengan pasangan.
"Apabila semakin berusia, mereka akan menghadapi masalah dengan saluran darah, menghidapi diabetis, tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi," kata Dr Ong.
Diterjemahkan oleh Nur-ul Afida Kamaludin
-- BERNAMA