325,830 wanita terima vaksin HPV setakat Jun 2018



KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) --  Seramai 325,830 wanita telah menerima vaksinasi 'Human Papillomavirus' (HPV) secara percuma sehingga Jun 2018, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, program yang dilaksanakan sejak 2012 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu merupakan inisiatif kerajaan dalam usaha mencegah jangkitan HPV yang menyebabkan kanser serviks dalam kalangan wanita.

"Kerajaan akan terus komited dan memberi perhatian kepada strategi dan aktiviti yang telah dirancang dalam Pelan Tindakan Kanser (2016-2020).

"Namun, kini terdapat satu trend iaitu pesakit mendapatkan rawatan alternatif yang tidak berasaskan bukti saintifik, sekali gus memudaratkan kesihatan dan hanya mendapatkan rawatan dengan pakar perubatan setelah penyakit kanser merebak," katanya ketika berucap merasmikan program 'War-on-Cancer' Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, statistik Fakta Kesihatan 2016 terbitan Kementerian Kesihatan turut melaporkan kanser merupakan punca kematian ketiga terbesar atau 13.6 peratus di hospital kerajaan, menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus jika dibandingkan data pada tahun 1996 iaitu 8.9 peratus sahaja.

"Sehubungan itu, pihak kerajaan sentiasa prihatin mengenai pesakit kanser dan telah menyediakan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban mereka," kata Dr Wan Azizah.

Sementara itu, War-on-Cancer Malaysia merupakan inisiatif Kolej Pakar Perubatan Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, Akademi Pakar Perubatan Keluarga Malaysia dan Akademi Sains Malaysia bagi mengadakan perkongsian sinergi antara beberapa kementerian dan agensi kesihatan bagi mewujudkan kesedaran kanser.

Ia juga bertujuan membawa penambahbaikan dengan mengenal pasti jurang yang sedia ada selain memberi pengetahuan tentang bahaya kanser kepada masyarakat melalui penyelidikan, peningkatan pengurusan pencegahan kanser dan sokongan terhadap pesakit kanser.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2