Jangkitan HFMD di Selangor di tahap berjaga-jaga



SHAH ALAM, 26 Julai (Bernama) -- Jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor berada pada tahap berjaga-jaga dengan 9,300 kes dicatat sejak Januari sehingga minggu lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud.


Beliau berkata golongan kanak-kanak berusia bawah enam tahun merupakan yang paling banyak menerima jangkitan berkenaan melibatkan 8,501 kes, kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun (568 kes) dan 231 kes untuk berusia 12 tahun ke atas.


"Kes jangkitan HFMD ini memuncak pada awal Mei lepas di minggu ke-15 sehingga minggu ke-17 dengan merekodkan kira-kira 600 jangkitan seminggu di seluruh negeri.


"Angka berkenaan kini turun kepada kira-kira 300 kes jangkitan seminggu sehingga minggu lepas, bagaimanapun ia masih lagi di tahap berjaga-jaga," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Dr Siti Mariah berkata sehingga semalam, pihaknya tidak menerima maklumat daripada Kementerian Kesihatan berhubung mana-mana tadika, taska mahupun sekolah rendah yang diarah tutup berikutan wabak penyakit berkenaan.


Beliau berkata dalam usaha mengurangkan jangkitan penyakit itu, kerajaan negeri kini giat menjalankan kempen kesedaran terutama kepada ibu bapa dan pengusaha taska berhubung faktor kebersihan dan mengenal pasti tanda awal jangkitan.


Katanya, kerajaan negeri turut menyarankan supaya setiap pengusaha taska, pusat jagaan dan guru-guru melakukan saringan terhadap kanak-kanak dan pelajar mereka.


"Jika boleh, kita segera asingkan kanak-kanak ada simptom HFMD agar tidak berjangkit kepada kanak-kanak lain. Ibu bapa juga buat masa ini diharap kurangkan membawa anak-anak kecil mereka ke tempat tumpuan ramai seperti pasar malam dan pasar raya untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit ini," katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai jangkitan denggi di Selangor, Dr Siti Mariah berkata kes itu mencatat penurunan pada tahun ini, dengan hanya 21,648 kes direkodkan mulai Januari sehingga minggu lepas melibatkan 17 kematian, berbanding 30,485 kes dengan 51 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.


Beliau berkata kebanyakan daerah di Selangor mencatat penurunan kes denggi jika dibandingkan dengan tahun lepas kecuali Klang yang mencatat peningkatan dari 5,054 kes pada tahun lepas kepada 5,816 kes tahun ini, bagi tempoh yang sama.


"Peningkatan kes ini antaranya berpunca dari tempat pembuangan sampah haram serta kebun di taman-taman perumahan yang mempunyai banyak lokasi air bertakung. Saya telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan di kawasan berkenaan untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini," katanya.


-- BERNAMA





HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2