Cegah Kemurungan Lebih Awal

Oleh Kurniawati Kamarudin



KUALA LUMPUR (Bernama) --  Kejadian kononnya seorang ibu mahu membunuh diri bersama-sama dua anaknya dengan mengurungkan diri di dalam kereta yang dihidupkan enjin, tular di media sosial baru-baru ini.


Video itu memaparkan usaha orang ramai menyelamatkan tiga beranak itu di tepi sebuah jambatan di Batu Pahat, Johor.


Rata-rata netizen memberi komen bahawa ada kalangan masyarakat mudah bertindak di luar batasan akal akibat tekanan emosi.


Dan, tekanan emosi boleh membawa kepada kes bunuh diri.


Ia menjadi isu global yang semakin serius apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyenaraikan bunuh diri sebagai antara 10 penyebab utama kematian di dunia.


Laporan 'Preventing Suicide, A Global Imperative' 2015 menunjukkan bahawa dianggarkan lebih 800,000 orang di seluruh dunia membunuh diri setiap tahun. Ini bersamaan dengan 1 kematian akibat bunuh diri setiap 40 saat manakala bagi setiap 1 kes kejadian bunuh diri, terdapat lebih daripada 20 kes cubaan bunuh diri.


Di Malaysia, kadar bunuh diri adalah 1.3 setiap 100,000 penduduk dengan jumlah kes sebanyak 1,100 kes dalam masa 2008 hingga 2010.


Statistik  Pusat Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tempoh lima tahun iaitu dari 2010-2014 menunjukkan sejumlah 338 kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan adalah disebabkan oleh perbuatan sengaja mencederakan diri.



KEMURUNGAN


Peningkatan kes kemurungan atau gangguan mental antara punca yang mengundang tingkah laku bunuh diri.


Statistik Kesihatan Morbiditi Nasional (NHMS) pada 2015 menunjukkan satu pertiga penduduk di negara ini mengalami kemurungan.  Jumlah  mereka yang menghadapi masalah mental itu meningkat  sebanyak 29.2 peratus atau 4.2 juta orang berumur 16 tahun ke atas  berbanding hanya 11.2 peratus pada tahun 2006.


Peningkatan  kadar kemurungan rakyat Malaysia pastinya mencetuskan rasa bimbang terutama apabila melihat kekerapan kes bunuh dan cubaan bunuh diri yang berkaitan dengan ketidakstabilan emosi.


Bulan lepas, seorang ibu dihadapkan ke mahkamah apabila bertindak mengelar hingga mati anak kandungnya yang berusia 19 bulan. Dia dipercayai menghadapi kemurungan dan tidak sedar dengan tindakan yang dilakukannya.


Wanita dianggap mudah mengalami kemurungan kerana suka memendam perasaan dan kurang berkongsi masalah yang dihadapi.



FAKTOR EKONOMI


Dalam keadaan ekonomi yang mencabar hari ini, tangungjawab mencari rezeki bukan sahaja terletak kepada suami malah isteri juga terpaksa membantu bagi meringankan beban selain perlu memikul peranan sebagai ibu dan isteri.


Tekanan di tempat kerja dan di rumah, jika tidak ditangani dan difahami, lama kelamaan menjadi tekanan emosi yang bila-bila sahaja boleh meletup seperti  'api dalam  sekam'.


Selain itu, faktor ekonomi amat mempengaruhi tahap mental penduduk sesebuah negara.


Apabila ekonomi tidak berkembang dengan baik, kadar pengangguran akan tinggi, perceraian meningkat dan mereka yang mengalami masalah mental juga bertambah, kata Pakar Perunding Psikiatri  Pusat Perubatan Universiti Malaya Dr Rusdi Rashid.


"Kesedaran dan sokongan amat penting untuk memerangi tanda-tanda awal kemurungan.


"Kurangnya pengetahuan serta sikap menafikan tanda-tanda kemurungan akan menyebabkan masalah lebih besar berlaku, " katanya.


Selain itu, stigma yang berlegar dalam pemikiran masyarakat bahawa mereka yang mendapatkan rawatan psikiatri adalah 'gila' juga harus  dilempas jauh.



RAWATAN DAN SOKONGAN


Dr Rusdi berkata kemurungan boleh diatasi dan dirawat dengan mendapatkan bantuan psikiatri sama ada di hospital kerajaan atau swasta.


Merasa murung secara berterusan selama dua minggu, rasa sedih berturut-turut setiap hari,  hilang minat pada sesuatu perkara termasuk berjumpa dengan orang adalah tanda-tanda awal tekanan emosi.


"Berubah  sistem hidup seperti sukar tidur pada  waktu malam,  pergerakan dan fikiran menjadi perlahan, rasa  putus asa dan hilang harapan  serta tidak fokus juga adalah tanda tekanan perasaan, " jelasnya. 


Mereka yang mengalami keadaan ini perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin supaya keadaan itu tidak berlarutan hingga ke peringkat cuba membunuh diri. 


Sambil mengakui kesedaran tentang  masalah kesihatan  mental masih  rendah dalam kalangan orang ramai, beliau berkata anggota keluarga dan rakan-rakan perlulah peka dengan perubahan yang dialami oleh mereka yang kemurungan.


"Bantulah mereka untuk mendapatkan rawatan daripada pihak yang berkenaan, " katanya. 


Bagi membantu seramai mungkin yang bermasalah, katanya, PPUM menawarkan perkhidmatan tanpa temu janji bagi mendapatkan rawatan pada Isnin hingga Jumaat dari 8 hingga 11.30 pagi.


Untuk  rawatan awal, kaunseling akan diberikan dan hanya apabila perlu, pesakit diberikan ubat.


"Paling penting, PPUM menjaga kerahsiaan  pesakit. Jadi, pesakit tidak perlu bimbang untuk mendapatkan rawatan psikiatri, " katanya.



Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin


BERNAMA



















 

 


KK NAK





HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018