'Masalah Kaum Adam' Turut Menghantui Para Doktor

Pakar Urologi Pusat Pakar UMSC Profesor Madya Dr Ong Teng Aik (kanan) dan Pakar Kardiologi Intervensi UMSC Dr Ramesh Singh Veriah selepas ditemu bual Bernama mengenai disfungsi erektil di pusat tersebut baru-baru ini. -- fotoBERNAMA oleh Zulaikha Zainuzman

Oleh Salbiah Said

Ini adalah bahagian akhir daripada artikel dua bahagian mengenai Disfungsi Erektil (ED)

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Pada 2012,  aktor filem Tamil yang juga seorang penyanyi dan pengacara televisyen, Ayushmann Khurrana berlakon dalam filem pertamanya berbentuk komedi  bertajuk "Vicky Donor".



Pakar Urologi Pusat Pakar UM Specialist Centre (UMSC) Profesor Madya Dr Ong Teng Aik (kanan) dan Pakar Kardiologi Intervensi UMSC Dr Ramesh Singh Veriah selepas ditemu bual Bernama mengenai disfungsi erektil di pusat tersebut baru-baru ini. -- fotoBERNAMA oleh Zulaikha Zainuzman

Filem itu berkisar kepada derma sperma di India, topik yang boleh dianggap sebagai tabu dalam kalangan masyarakat India.

Menurut Indian Express, meskipun penyampaian isu derma sperma ini diselitkan dengan unsur jenaka tetapi ia masih mampu menyakinkan penonton untuk menghargai watak dalam filem berkenaan serta kisah hidup mereka.

Dalam ulasannya, filem itu turut memperkenalkan satu lagi subjek tabu iaitu Disfungsi Erektil (ED) dan penonton dilaporkan tidak kering gusi dengan cerita yang disampaikan. Meskipun pasangan  dalam filem itu menghadapi masalah rumah tangga akibat ED, ia tidak secara langsung menyebut perkataan tersebut, sebaliknya merujuk ED sebagai "masalah kaum adam" dari mula hingga ke akhir.

Di Malaysia, "masalah kaum adam" ini masih topik tabu bukan sahaja dalam kalangan pesakit tetapi juga para doktor, demikian menurut pakar kesihatan Pusat Pakar Universiti Malaya (UM).

Menurut Pakar  Kardiologi Intervensi UMSC Dr Ramesh Singh Veriah, ramai pesakit akan hanya berkongsi dengan doktor masalah mereka apabila sudah terlantar di katil hospital selepas serangan sakit jantung. Pesakit berkenaan sudah pun  menghidap ED.

"Kami mahu pesakit tampil dan berbincang tentang masalah ini supaya lebih banyak masalah dapat dielakkan," katanya dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

PENGUBAT TRADISIONAL 

Dr Ramesh turut berkongsi dengan penulis pengalamannya sebagai doktor di klinik kesihatan kerajaan di sebuah kampung di daerah Sabak Bernam.


Pakar Kardiologi Intervensi UMSC Dr Ramesh Singh Veriah berkata mereka yang lebih aktif dan melakukan senaman fizikal lebih sihat dan kurang menghidap ED dan penyakit jantung. -- fotoBERNAMA oleh Zulaikha Zainuzman


Menurut beliau, kebanyakan pesakitnya yang menghidap ED terlalu malu untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Sebaliknya, mereka memilih untuk berjumpa dengan pengubat tradisional yang sudah mereka kenali begitu lama, ada yang sehingga 40 tahun dan 50 tahun lamanya.

Dalam masa yang sama beliau berkata topik ED ini juga tabu untuk para doktor dan ramai yang tidak mahu bercakap mengenainya.

"Kita ini manusia dan kita boleh jatuh sakit dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki. Kita semua ada kelainan dan ada yang lebih sensitif dan ada yang mudah untuk diungkapkan. Sepatutnya tidak ada halangan atau sekatan seperti ini," tambahnya.

Pakar Urologi Pusat Pakar UMSC, Profesor Madya Dr Ong Teng Aik berkata "Sesetengah pesakit tidak tahu langsung mereka menghidap ED dan mereka kata hanya mahu jantung mereka diperiksa. Ramai juga yang tidak minta bantuan daripada pakar urologi."

FRANCESCO MONTECCHI

Sewaktu wawancara bersama dengan Bernama, Dr Ong menjelaskan pakar urologi menggunakan garis panduan Persatuan Urologi Eropah yang dirumuskan oleh pakar perubatan seks Itali, Francesco Montecchi ketika membuat penilaian pesakit yang menghidap pelbagai penyakit.

"Kami akan bermula dengan bertanya soalan, antaranya apa masalah pesakit, berapa lama dia mengalami ED dan seteruk mana keadaannya. Kami juga akan memeriksa masalah perubatan lain seperti diabetis, kolesterol dan jantung," tambahnya.

Secara umumnya, doktor juga perlu tahu tabiat sosial pesakit, sama ada mereka merokok atau menghadapi tekanan di tempat kerja atau mereka melakukan sebarang senaman. Selepas melalui prosedur ini, doktor akan melakukan pemeriksaan fisikal ke atas pesakit sebelum ujian selanjutnya.

Menurut Dr Ong, banyak ujian perlu dilakukan tetapi yang paling penting ialah untuk menguji paras gula bagi penyakit diabetis dan kolesterol. Ujian "lipid" juga akan dibuat untuk memastikan sama ada paras kolesterol berada pada paras terkawal.

Penjagaan klinikal yang berbeza diberikan kepada pesakit yang mempunyai testeron yang rendah, iaitu mereka yang mempunyai gejala seperti nafsu seksual yang rendah, kurang tenaga untuk bekerja dan sentiasa mengantuk. Pakar urologi akan membuat keputusan sama ada pesakit boleh mula menjalani rawatan untuk ED, tambahnya.

TIGA BENTUK RAWATAN 

Dr Ong menggariskan tiga bentuk rawatan untuk ED. Rawatan pertama menggunakan rawatan perubatan yang popular di kalangan pesakit berumur 20 tahun ke atas.

"Perubatan untuk ED membantu pesakit yang menghidap ED dengan meningkatkan mutu kehidupan mereka serta hubungan dengan pasangan mereka," katanya sambil menambah ubat (drugs) dikenali sebagai "PDE type-5 inhibitors" membantu meningkatkan aliran darah ke zakar.

Menurut Dr Ong pakar urologi akan melakukan rawatan peringkat seterusnya (kedua dan ketiga) jika pesakit tidak menunjukkan tindak balas kepada terapi peringkat pertama.

Rawatan peringkat kedua melibatkan suntikan "intracavernous" di mana pesakit, di bawah  penyeliaan pakar urologi boleh menyuntik ubat yang dipreskripsi oleh doktor ke tisu zakar untuk menghasilkan ereksi.

Terapi peringkat ketiga dilakukan sekiranya rawatan sebelumnya tidak berhasil iaitu zakar gantian "penile prosthesis" atau implan zakar "penile implant" yang diimplan ke dalam zakar melalui prosedur pembedahan.

Dr Ong berkata kaedah ini melibatkan kos sekitar RM30,000 hingga RM40,000.

KADAR KEJAYAAN

"Kadar kejayaan antara 70 hingga 80 peratus berdasarkan rawatan peringkat pertama dan itu adalah yang pencapaian paling besar. Kebanyakan pesakit kami mengalami pemulihan dalam ereksi mereka dan ini membantu kehidupan mereka," kata Dr Ong.

"Nasihat saya sekiranya anda ada mengambil ubat, tanya doktor terlebih dahulu. Dapatkan nasihat serta preskripsi dan bukan beli ubat dalam talian atau daripada sumber yang tidak diberi kelulusan.

"Apa yang penting anda perlu jaga kesihatan anda, terutama yang menghidap diabetis, darah tinggi atau menghadapi tekanan kerja. Lakukan senaman seacara kerap, ambil makanan yang seimbang dan jangan makan berlebhan," tambahnya.

Menurut Dr Ramesh pula, "Kesedaran adalah amat penting. Menjadi tanggungjawab sosial korporat sebarang institusi terutamanya hospital sama ada untuk pemeriksaan ED atau kanser payu dara. Setiap hospital atau pusat perlu melakukannya.

Beliau dan Dr Ong menggunakan pendekatan "serampang dua mata"  iaitu mendidik orang awam serta doktor termasuk pakar perubatan dan ia adalah proses yang berterusan.

"Mereka yang menghidap ED perlu berjumpa doktor kerana kebanyakan pesakit ini akhirnya akan menghidap sakit jantung. Hakikatnya, ada doktor yang menganggap ED sama seperti penyakit kardiovaskular.

"Amalkan kehidupan yang sihat. Kami dapati mereka yang lebih aktif dan melakukan senaman fizikal lebih sihat dan kurang menghidap ED dan penyakit jantung. Gaya hidup amat penting," kata Dr Ramesh.

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

-- BERNAMA







HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018