HFMD boleh bawa maut jika tidak dirawat segera



KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Komplikasi kronik yang wujud akibat penyakit kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) berisiko mengundang maut, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Norita Shamsudin.



Katanya, meskipun HFMD ini merupakan penyakit jangkitan ringan, namun risikonya tinggi sekiranya  tidak dirawat lebih awal.



"Jangkitan virus khususnya Enterovirus 71 (EV71), kemungkinan akan ada komplikasi seperti dehidrasi, radang otak, kegagalan jantung dan paru-paru dan akhirnya menyebabkan kematian. Itu yang kita risau sebab majoriti kes HFMD tahun ini disebabkan EV71 sememangnya boleh menyebabkan  komplikasi.



Pada tahun 2015 dan 2016, virus Coxsackie A16 dikenal pasti sebagai penyebab utama berlaku HFMD. Namun berdasarkan pemantauan sampel tahun ini, lebih 50 peratus daripadanya (kes) disebabkan EV71  apabila kanak-kanak yang dijangkiti tidak mempunyai daya ketahanan terhadap virus tersebut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.



Dr Norita berkata penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur, namun kebiasaannya  hampir 90 peratus kes HFMD melibatkan golongan kanak-kanak bawah lima tahun.



Ketika ditanya mengenai kebarangkalian jangkitan HFMD walaupun pernah dijangkiti sebelum ini, Dr Norita berkata ia tidak mustahil, bergantung kepada daya ketahanan badan seseorang.



"Apa yang penting ialah langkah pencegahan yang perlu diambil oleh ibu bapa khususnya dan pengusaha taska bagi mengelakkan jangkitan itu merebak."



"Aspek kebersihan perlu dititikberatkan, segera bawa anak untuk mendapatkan rawatan sekiranya  mempunyai tanda jangkitan serta mengelakkan daripada membawa mereka ke tempat awam," katanya.



Penyakit HFMD adalah sejenis penyakit yang berpunca daripada virus yang mudah berjangkit  terutama virus Coxsackie A16 dan EV71 dan boleh merebak menerusi air liur, cecair luka dan najis.



Kementerian Kesihatan pada 24 Julai lepas menyatakan terdapat peningkatan  kes HFMD apabila 35,886 kes kumulatif wabak itu direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 23 Julai tahun ini.



Berikutan jumlah kes HFMD yang melebihi paras amaran bagi semua negeri, KKM telah mengadakan satu mesyuarat antara agensi yang bertanggungjawab dalam pemantauan taska, tadika, prasekolah dan sekolah rendah dalam mengawal dan mencegah penyakit tersebut.



Antaranya ialah pelaksanaan dan pengukuhan saringan di pintu masuk taska, tadika, prasekolah dan sekolah rendah tahap satu (tahun satu hingga tiga) bagi memastikan hanya kanak-kanak yang tiada simptom HFMD sahaja yang dibenarkan masuk ke kelas.



Sementara itu di JOHOR BAHRU,  Pasar raya Econsave Johor mula melakukan disinfeksi terhadap 9,000 troli dan 1,800 bakul di semua 18 cawangannya, hari ini, berikutan kebimbangan ke atas peningkatan kes penyakit, tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini.



Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata kerja disinfeksi itu yang akan berakhir esok, adalah susulan arahan daripada pihak atasan mereka yang mahukan disifeksi dijalankan ke atas semua 72 cawangannya di seluruh Malaysia.



"Meskipun di Johor kes HFMD tidak begitu serius tetapi pihak kami mengambil langkah pencegahan awal kerana kita peka akan keadaan semasa selain mengambil kira kerisauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka khususnya bayi yang senang terdedah dengan ancaman virus," katanya kepada pemberita sejurus melaksanakan  disinfeksi itu di Pasar Raya Econsave Taman Daya di sini, hari ini.



Pada masa sama, Econsave turut akan menyediakan alat pencuci tangan di setiap pintu keluar masuk pasar raya terbabit bagi memudahkan orang ramai membersihkan tangan mereka.



Seorang pelanggan pasar raya itu, Qistina Kamri, 40, berkata usaha yang dilakukan Econsave itu wajar dicontohi  pasar raya-pasar raya lain bagi lebih menjamin kebersihan premis dan pelanggan pula tidak berasa was-was untuk membeli-belah.



-- BERNAMA








HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018