ALOR SETAR, 31 Julai (Bernama) -- Semua tadika, taska, pusat asuhan kanak-kanak dan guru sekolah di Kedah diminta melakukan pemeriksaan lebih kerap terhadap bayi dan kanak-kanak yang dihantar bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan, Halimaton Shaadiah Saad berkata Kedah sangat mengambil berat tentang penyakit ini dan meminta semua pihak bekerjasama bagi mencegah penyakit itu di negeri ini.
"Saya juga minta pusat-pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak persendirian melakukan perkara yang sama, pemeriksaan boleh dibuat menerusi mulut, tapak tangan dan tapak kaki selain melihat kesan ruam pada tubuh badan anak kecil.
"Lebih penting, selepas mengesan simptom HFMD, segeralah maklumkan kepada ibu bapa mereka supaya dapat dihantar balik dan dikuarantinkan untuk elak berjangkit pada kanak-kanak lain," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian sambutan Hari Penduduk Sedunia 2018 peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri Kedah, Mohamad Mizal Mohammad Noor.
Sambutan Hari Penduduk Sedunia diadakan pada setiap tahun untuk meningkatkan kefahaman serta kesedaran masyarakat umum mengenai hubung kait antara penduduk dan pembangunan negara.
Sementara itu, Halimaton Shaadiah menyelar tindakan ibu bapa yang bersikap 'acuh tak acuh' jika mengesan simptom HFMD seperti ruam dan biji-biji kecil pada badan anak-anak mereka.
"Ibu bapa pergilah ke hospital atau klinik untuk mengesahkan penyakit tersebut supaya rawatan susulan yang sewajarnya dapat diberikan dan tidak membuat andaian sendiri hingga keadaan lebih teruk dan boleh membawa maut," katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye mengesahkan kematian bayi berusia 17 bulan di Pulau Pinang pada 6 Jun lalu adalah akibat HFMD setelah sekumpulan pakar menjalankan ujian makmal melalui sampel darah yang diambil terhadap bayi tersebut sebelum kematiannya.
Katanya, mangsa dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Bayan Lepas pada 3 Jun lalu sebelum meninggal dunia dan kes ini menjadikan Pulau Pinang merekodkan kes pertama kematian membabitkan penyakit HFMD di Malaysia.
Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan di Sarawak dipercayai meninggal dunia akibat HFMD pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan punca kematian kanak-kanak itu bukan disebabkan HFMD, tetapi akibat jangkitan paru-paru yang teruk.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN