IPOH, 2 Ogos (Bernama) -- Ibu bapa tidak digalakkan bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional bagi merawat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga mengabaikan keperluan untuk membawa anak mereka berjumpa doktor.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata adalah penting ibu bapa membawa anak mereka yang dijangkiti HFMD berjumpa dengan doktor bagi mengenal pasti tahap jangkitan.
"Memang ada cara berlainan (merawat HFMD), tapi yang paling penting adalah menjaga kebersihan. Kita tidak galakkan (ibu bapa) tidak bawa anak jumpa doktor kerana bergantung kepada kaedah tradisional.
"Kebanyakan jangkitan HFMD tidak serius dan kebanyakannya pulih sendiri dan setakat tahun ini, dua kematian dilaporkan berbanding tiada pada tahun lepas dan tahun sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik Pakar-pakar Perubatan Keluarga Malaysia ke-21 di sini, hari ini.
Dr Lee mengulas mengenai beberapa perkongsian kaedah rawatan HFMD secara tradisional di laman sosial, sehingga ada yang sama sekali tidak membawa anak yang dijangkiti untuk berjumpa doktor.
Selain itu, Dr Lee meminta pihak pentadbiran sekolah, taska dan tabika agar tidak menyembunyikan sebarang kes HFMD kerana ia akan merumitkan lagi keadaan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan penggunaan vaksin bagi merawat dan mencegah HFMD, Dr Lee berkata ia tidak boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Penghasilan vaksin dan usaha untuk membawa ia masuk ke dalam negara mengambil masa. Jadi buat masa ini kaedah pencegahan paling penting adalah menerusi penjagaan kebersihan seperti membasuh tangan," katanya.
Selasa lalu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya mendapat beberapa syor dan cadangan mengenai pencegahan HFMD termasuk vaksin yang sedang diusahakan di Taiwan sementara di Singapura pula kajian dan pembangunan masih dijalankan.
Mengenai persidangan tersebut, Dr Lee berkata lebih 800 orang menyertai acara empat hari itu yang bermula semalam bertujuan memperkasa peranan pakar perubatan keluarga dalam masyarakat.
"Saya cadangkan supaya komuniti kalau boleh adakan konsep doktor keluarga, jangan melompat-lompat (bertukar-tukar doktor) agar perkhidmatan kesihatan dapat dipertingkatkan," katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN