KUALA TERENGGANU, 2 Ogos (Bernama) -- Terengganu akan memberi penekanan dalam sektor penjagaan kesihatan sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan di negeri ini selaras dengan harapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu negeri ini menjadi hab pelancongan kesihatan di rantau ini.
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketika ini kerajaan negeri mendapat kunjungan daripada beberapa pihak yang berminat untk menjalin kerjasama bagi membangunkan sektor penjagaan kesihatan pelancongan termasuk dari negara China.
Katanya, ini kerana ketika ini beberapa destinasi pelancongan di Terengganu menjadi pilihan pelancong domestik dan asing khususnya dari negara jiran dan China untuk mendapatkan ketenangan dan rehat selepas menjalani rawatan dalam pelbagai masalah kesihatan di negara mereka.
"Kita sedang berusaha ke arah menjadikan sektor penjagaan kesihatan sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan dengan fasiliti yang kita ada seperti akses perhubungan udara, juga kemudahan fizikal seperti hospital swasta di bawah Kumpulan Medik Iman (KMI) Sdn Bhd, Kuala Terengganu Specialist (KTS) Hospital dan lain-lain.
"Akan ada beberapa pertemuan dengan pihak-pihak yang berminat dan perjanjian akan dibuat dan insya-Allah, akan dimulakan pada tahun depan, katanya kepada pemberita selepas perasmian bangunan baharu KTS Hospital di Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk, di sini yang disempurnakan Sultan Terengganu, hari ini.
Turut hadir pada sidang media, Ketua Pegawai Eksekutif TDM Bhd, Datuk Mohamat Muda dan Ketua Pengarah Eksekutif KMI, Bryan Lin.
Sebelum ini, bangunan KTS lama di Jalan Kamaruddin di sini tidak lagi mampu menampung pertambahan jumlah pesakit dan dengan itu kewujudan bangunan KTS baharu lapan tingkat ini bertujuan untuk memenuhi keperluan dan keselesaan pesakit.
Bangunan hospital ini yang direka bentuk dengan model kesihatan Salutogenic memberi ketenangan bagi membantu pemulihan serta memberi tumpuan kepada faktor kesihatan dan kesejahteraan pesakit.
Dalam pada itu, Lin berkata KTS memperkenalkan perkhidmatan baharu secara berfasa seperti Pusat Jantung yang mempunyai perkhidmatan kardiologi dan kardio thorasik, pembedahan jantung dan rehabilitasi kardium serta perkhidmatan tradisional seperti urutan dan akupunktur.
"Kita juga sedang dalam perancangan menambah beberapa rawatan baharu seperti rawatan hiperbarik khusus bagi para penyelam yang sering datang melancong ke negeri ini, sekali gus menjadi hospital swasta yang memberikan rawatan bersesuaian dengan kehendak komuniti setempat," katanya.
Katanya penambahan rawatan itu sebahagian daripada perancangan KMI dalam memperkukuhkan lagi segmen penjagaan kesihatan yang kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat negeri ini yang ingin mendapatkan rawatan di KTS.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN