PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Seramai 2,380 murid daripada 950 sekolah terlibat dengan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) sehingga semalam (5 Ogos), menurut Kementerian Pendidikan.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 149 kelas biasa, 65 kelas prasekolah dan lima sekolah telah diarah tutup oleh pihak Kementerian Kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi tempoh yang sama.
"Mana-mana sekolah atau kelas yang terlibat dengan arahan penutupan sekolah di bawah akta tersebut hendaklah mematuhinya serta mengambil tindakan dengan seberapa segera dengan melarang murid-murid hadir ke sekolah,” kata kementerian itu.
Kementerian Pendidikan berkata pengetua dan guru besar yang terlibat hendaklah memaklumkan kepada Pengarah Pendidikan Negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah dengan kadar segera akan notis penutupan tersebut.
"Guru-guru dan kakitangan sekolah juga hendaklah diarahkan melaporkan diri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan menjalankan tugas seperti diarahkan PPD berkenaan," katanya.
Kementerian Pendidikan turut memberi peringatan bahawa semua pengetua dan guru besar supaya mengambil langkah-langkah perlu dengan memberi nasihat kepada murid agar sentiasa menjaga dan mengamalkan kebersihan walau di mana mereka berada.
"Pihak sekolah juga hendaklah menghubungi terus pejabat kesihatan daerah, hospital atau klinik berdekatan dengan kadar segera sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit tersebut terhadap murid-murid di sekolah serta memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga murid," kata kementerian itu.
Kementerian Pendidikan berkata ibu bapa dan penjaga hendaklah merujuk terus ke hospital atau klinik berdekatan sekiranya terdapat tanda penyakit HFMD terhadap anak jagaan mereka.
HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak melalui sentuhan dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.
Gejala penyakit tersebut adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN