Kes HFMD di Pulau Pinang semakin menurun - Exco



BUTTERWORTH, 7 Ogos (Bernama) -- Jumlah kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Pulau Pinang semakin menurun sejak Jumaat lepas dan ini menunjukkan perkembangan yang baik, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin.

Beliau berkata bagaimanapun pihaknya masih memantau secara rapi keadaan penyakit itu di seluruh negeri bagi memastikan penularannya dapat dibendung sepenuhnya.

“Sejumlah 81 kes dilapor pada Jumaat dan jumlah itu menurun kepada 42 kes pada Sabtu, 41 kes pada Ahad dan semalam 17 kes sahaja. Ini suatu perkembangan yang baik dan saya harap jumlah kes akan terus menurun.

"Sejak Januari hingga semalam, sebanyak 3,326 kes dilaporkan di Pulau Pinang berbanding 1,230 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas. Seramai 12 kanak-kanak masih dirawat di hospital termasuk hospital swasta ketika ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE) anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah 1 Bahagian Pembangunan Usahawan Mara (Ibu Pejabat) Lailatul Asmah Tahir dan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Mara Pulau Pinang  Mohammad Arif Fahmi Abdul Ghani.

Dr Afif berkata ketika ini sebanyak 12 premis membabitkan sejumlah kelas di lima sekolah, taska (dua), tadika (tiga) dan dua prasekolah masih ditutup kerana terdapat murid dijangkiti HFMD.

"Sekolah-sekolah yang terdapat kelas masih ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Teh, SK Sungai Duri, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, SJKC Kai Chee dan Sekolah Menengah Agama (SMA) AL Maahadul Islami," katanya.

Sementara itu Lailatul Asmah berkata MARA memperuntukkan sebanyak RM5 juta setiap tahun bagi memberi latihan dan bimbingan kepada 5,000 usahawan di seluruh negara menerusi WISE.

"Antara latihan yang diberi adalah pembentukan usahawan, motivasi serta pelan perniagaan bagi mereka yang baru bertatih untuk menjadi usahawan dan seterusnya Mara memandu mereka untuk terus berkembang menerusi latihan pengurusan perniagaan, pensijilan dan piawaian serta memadankan perniagaan dengan peneraju utama dari sudut pemasaran produk," katanya.

Beliau berkata selain itu, Mara telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Khas untuk golongan wanita iaitu Dananita dan pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta setiap tahun bagi memperkasa lebih 400 usahawan wanita di seluruh negara.

Skim itu memberi fokus terhadap usahawan wanita berusia 18 hingga 60 tahun dengan  had pembiayaan sebanyak RM50,000 berkonsepkan pembiayaan patuh syariah, katanya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2