Hospital Medan Malaysia cipta sejarah guna kaedah pembedahan Laparoskopik di kem pelarian Rohingya

Oleh Syed Azwan Syed Ali

Syed Azwan Syed Ali ialah seorang aktivis kemanusiaan, yang juga Penasihat Media bagi Misi Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) di Cox's Bazar.  

COX’S BAZAR (Bangladesh), 8 Ogos (Bernama) -- Hospital Medan Malaysia (MFH) mencatat sejarah apabila melakukan pembedahan laparoskopik untuk pesakit dari kem pelarian Rohingya di wilayah ini sejak 18 Julai lalu.

Sehingga Selasa, sebanyak 13 pembedahan laparoskopik, atau pembedahan menggunakan kamera, berjaya dilakukan tanpa sebarang komplikasi.

Jumlah itu adalah daripada 400 keseluruhan prosedur pembedahan yang dilakukan di MFH sejak Mac lalu.

Setakat ini, tiada hospital di wilayah Cox’s Bazar yang memiliki kepakaran pembedahan laparoskopik selain Hospital Medan Malaysia. 

Pakar bedah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dr Yugasaravanan Khandasamy, berkata pembedahan laparoskopik berbeza daripada pembedahan konvensional.

Beliau berkata pembedahan laparoskopik yang lebih rumit membolehkan pesakit cepat sembuh dan mengurangkan risiko jangkitan kuman serta komplikasi.

“Kami adalah hospital pertama di sini yang ada kepakaran pembedahan laparoskopik. Pada 1994, di hospital hadapan Bosnia (kami) pernah guna laparoskopik tapi fasa percubaan. 

“Tim Amerika Syarikat ketika itu menjalankan tujuh pembedahan laparoskopik untuk anggotanya. Pembedahan (laparoskopik di MFH) hari ini adalah kes ke-13 sejak 18 julai. Sebelum ini kita hanya jalankan pembedahan konvensional,” katanya kepada penulis di hospital medan di sini. 

Pembedahan laparoskopik ke-13 itu diketuai Dr Yugasaravanan dengan dibantu pakar bius, Dr Omar Loman; doktor bius, Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini dan dua petugas lain.

Pembedahan laparoskopik ke atas pelarian Rohingya, Rohmat Ullah, 25, yang mengalami angin pasang, atau hernia, berlangsung selama sejam tanpa sebarang komplikasi.

Komander MFH, Brigidier Jeneral Dr Adnan Abdullah berkata pembedahan laparoskopik dijalankan kerana prosedur itu memiliki banyak kelebihan berbanding kaedah biasa.

“Melalui pembedahan laparoskopik, risiko pendarahan semasa pembedahan kepada pesakit dapat dikurangkan,” kata Dr Adnan yang turut memantau pembedahan itu. 

Hospital Medan Malaysia mula beroperasi hujung 2017 selepas berlakunya kebanjiran lebih 700,000 pelarian Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh akibat operasi berdarah tentera Myanmar di utara Rakhine pada 25 Ogos tahun lalu. 

Kini terdapat lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di selatan Bangladesh yang bersempadan dengan Myanmar.

Setakat ini, hampir 14,000 pesakit dirawat sejak Mac lalu selepas ATM mengambil alih operasi hospital medan daripada Kementerian Kesihatan.

Disunting oleh Sabarina Baharom

-- BERNAMA

 

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018