UPSI tawar program sarjana sains kaunseling kesihatan mental klinikal tahun hadapan



Oleh Ahmad Erwan Othman

TANJUNG MALIM, 8 Ogos (Bernama) -- Masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat sememangnya cukup membimbangkan mutakhir ini disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya masalah peribadi, tekanan daripada orang sekeliling dan bebanan kerja yang melampau.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendedahkan 29.2 peratus atau lebih kurang 4.2 juta daripada 14.4 juta rakyat negara ini yang berusia 16 tahun ke atas menghidap pelbagai masalah kesihatan mental dengan kebanyakannya adalah golongan pekerja. Jumlah tersebut amat membimbangkan kerana terdapat peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding pada 2006.

Melihat akan kepentingan kesihatan mental, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menawarkan satu program baharu iaitu Sarjana Sains Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal yang memberi penekanan kepada memantapkan lagi kemahiran dan kecekapan para kaunselor dalam bidang berkenaan bagi pembukaan sesi pengajian tahun hadapan.

Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, Prof Madya Dr Abdul Rahim Razali berkata Sarjana Sains Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal di bawah program Jabatan Psikologi dan Kaunseling FPM itu merupakan program kaunseling kesihatan mental pertama seumpamanya ditawarkan di negara ini.

"Kita harap program sarjana tersebut akan dapat ditawarkan pada tahun hadapan, sekaligus UPSI menjadi universiti perintis mengorak langkah dalam menawarkan Program Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal ini di negara ini.

"Program sarjana itu bukan hanya dikhususkan untuk kaunselor dan profesional kesihatan mental yang bekerja di 'setting' (pengkhususan) klinikal, malah juga untuk semua kaunselor dalam pelbagai setting antaranya kaunselor sekolah, organisasi, pusat pemulihan mahupun komuniti kebajikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan majlis penutupan Program Pensijilan Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal selama empat hari membabitkan penyertaan 54 peserta dari Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan pengamal-pengamal persendirian, anjuran Persatuan Profesyen Psikologi KKM (PSiKEM) di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Turut hadir Presiden PSiKEM Azman Mohamad dan Ketua Penolong Setiausaha Psikologi Kaunseling KKM Mohd Mustaza Mohamad Zin.

Dr Abdul Rahim berkata tempoh pengajian sarjana itu mengambil masa selama dua tahun setengah untuk pelajar sepenuh masa dan bagi pelajar separuh masa dianggarkan akan menghabiskan masa sehingga lima tahun pengajian.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling Prof Madya Dr Mohammad Nasir Bistamam yang merupakan penyelaras program Sarjana Sains Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal itu nanti berkata program tersebut wajar ditawarkan kepada kaunselor dan profesional kesihatan mental kerana terdapat peningkatan isu antaranya melibatkan krisis keluarga yang mempunyai kaitan dengan tekanan mental seperti kemerosotan sokongan psikososial yang boleh menyebabkan seseorang bertindak di luar batasan.

"Fakulti kita mempunyai kepakaran dan kekuatan 43 pensyarah dalam bidang psikologi dan kaunseling. Malah belum ada lagi program seumpama ini yang akan menggabungkan kerjasama dua kementerian iaitu KPM dan KKM di bawah satu universiti dalam usaha memudahkan lagi pelaksanaan program itu. 

"Sebab itulah kita rasa sudah tiba masanya untuk dilaksanakan kerana kita sememangnya sudah mempunyai pelajar ataupun calon-calon yang ingin mengikutinya, cumanya buat masa ini, kita hanya perlu menunggu lampu hijau sedikit masa lagi dari pihak atasan untuk kita laksanakan pada masa akan datang," katanya yang turut memaklumkan penubuhan program baharu itu telah mengambil kira kajian pasaran dan beberapa aspek lain.

Mengenai Program Pensijilan Kaunseling Kesihatan Mental Klinik hari ini, penyelaras program Prof Madya Dr Samsiah Mohd Jais yang merupakan Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling berkata program tersebut yang pertama kali dibangunkan pihaknya adalah untuk meningkatkan kecekapan amalan kaunselor kesihatan mental klinikal dalam pengetahuan, kemahiran dan kesedaran mereka aspek kesihatan mental klinikal supaya mereka nanti dapat membantu klien atau pesakit dengan lebih baik dan cekap.

Kandungan program itu, katanya, meliputi 30 jam kuliah dan 10 jam amali klinikal di pengkhususan kesihatan mental membabitkan 10 modul yang perlu diikuti bagi melatih kecekapan seperti memahami isu kesihatan mental, pentaksiran simptom krisis serta kecekapan mengendalikan kaunseling.

-- BERNAMA

 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018