Tabung Bantuan Pesakit Kronik Kedah bantu pesakit perlu bantuan

ALOR SETAR, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Kedah hari ini melancarkan Tabung Bantuan Pesakit Kronik Kedah (TPK) dalam menjaga kebajikan rakyat terutama membantu pesakit kronik yang benar-benar memerlukan bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri Datuk Dr Ismail Salleh berkata tabung tersebut memfokuskan kepada dua golongan sasar iaitu kategori asnaf dan bukan asnaf.

"Bagi golongan asnaf, sekiranya mereka tidak mampu membayar kos perubatan, pihak zakat negeri akan bantu dengan memberi sebahagian jumlah yang diminta dan sekiranya tidak cukup juga kita akan gunakan duit daripada TPK ini untuk tampung kos yang diperlukan.

"Sementara itu, kategori bukan asnaf pula terdiri daripada mereka yang berkemampuan namun jumlah yang diperlukan untuk kos perubatan tinggi dan tidak mampu dibayar, jadi kita akan tampung sebahagiannya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Tabung Bantuan Pesakit Kronik Kedah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian dan Kebajikan negeri Halimaton Shaadiah Saad, Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail dan Pengarah HSB Dr Zaiton Udin.

Ismail berkata bantuan tersebut diwujudkan bagi membantu rakyat Kedah dan pemohon yang ingin memohon bantuan tersebut terlebih dahulu akan dirujuk oleh Jabatan Kerja Sosial hospital untuk membuat penilaian untuk kelulusan setiap pemohonan.

"Pegawai Jabatan Kerja Sosial hospital akan rujuk kes mereka dahulu. Untuk peringkat awal ini kita mula (bantu) dengan rakyat negeri ini dahulu dan kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk tabung tersebut sehingga bulan Disember ini," katanya.

Sementara itu, Norhizan berkata jumlah bantuan yang diterima oleh HSB pada tahun 2015 ialah sebanyak RM4.2 juta, 2016 pula sebanyak RM4.5 juta dan jumlah itu terus meningkat kepada RM6.1 juta pada 2017.

Dalam perkembangan lain, Halimaton menyarankan supaya ibu bapa menghantar anak mereka ke Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menjamin keselamatan anak mereka.

"Saya terkilan dengan sikap sesetengah ibu bapa yang tidak peka ketika menghantar anak-anak ke rumah pengasuh yang tidak berdaftar yang akhirnya mengundang bahaya kepada anak mereka sendiri," katanya ketika mengulas mengenai kes dera bayi perempuan berusia 10 bulan.

Terdahulu, beliau sempat melawat bayi perempuan itu yang dipercayai didera pengasuhnya di sebuah rumah di Kuala Kedah di sini Sabtu lalu yang menyebabkan bayi terbabit mengalami lebam di bahagian pipi kanan dan kirinya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2