Malaysia perlu lebih banyak pakar bedah neuro - Lee

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) --  Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye hari ini menyentuh tentang keperluan bagi lebih banyak pakar bedah neuro untuk berkhidmat di pusat kesihatan awam dan swasta di kawasan separa bandar dan luar bandar.

Beliau berkata ketika ini terdapat 115 pakar bedah neuro di hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara dengan disokong oleh lebih  400 individu terlatih dalam kejururawatan neurosains.

"Oleh itu, kami berharap untuk mempunyai  tambahan 40-50 pakar bedah neuro dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Simposium World Federation of Neurosurgical Societies (WFNS) 2018, di sini, hari ini.

Susulan hanya terdapat jumlah kecil pakar bedah, wujud cabaran besar untuk memenuhi keperluan mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan di kepala, kerana kemalangan menyumbang 70 peratus keperluan neurosurgeri di negara ini, katanya. Melaka, Kelantan, Sarawak dan Perlis menghadapi kekangan perkhidmatan pakar bedah neuro ketika ini.

Dr Lee berkata juga terdapat keperluan bagi perkhidmatan neurosurgeri di hospital lebih kecil tetapi kos untuk mendirikan hospital/pusat neurosurgeri adalah amat mahal dengan sebuah pusat menelan kos antara RM5 juta dan RM10 juta.  

Sementara itu, dalam ucap tamanya, Dr Lee berkata selaras dengan peningkatan permintaan dan kepentingan penyampaian perkhidmatan kesihatan efisien dalam bidang neurosains, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan program latihan Diploma Lanjutan Kejururawatan Neurosains selama setahun pada  2013.

"Program ini bertujuan untuk melatih kumpulan pakar jururawat neuro bertauliah di Malaysia dengan memiliki latihan komprehensif dalam pelbagai bidang neurosains yang fokus pada peranan penyelidikan dalam bidang itu yang sentiasa berubah,” katanya.

Beliau juga berkata simposium WFNS penting bagi pakar Malaysia untuk memperbaharui lesen mereka setiap tahun.

Malaysia ialah tuan rumah persidangan ke-6 WFNS yang dihadiri lebih  800 pakar bedah neuro daripada lebih 75 negara dari 15-19 Ogos.

-- BERNAMA 

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2