Masalah kemudahan di hospital kerajaan diberi perhatian

IPOH, 17 Ogos (Bernama) –  Kementerian Kesihatan akan memberi perhatian serius terhadap beberapa masalah kemudahan yang dihadapi oleh hospital kerajaan di negara ini.

Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye berkata pihaknya mengenal pasti masalah yang dihadapi hospital kerajaan antaranya parkir, waktu menunggu, kekurangan bekalan ubat serta doktor pelatih.

"Kita memerlukan lebih peruntukan untuk penjagaan utama kesihatan dan mencegah rakyat daripada sakit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan “Neonatal Cardio Respiratory” di sebuah hospital pakar di sini hari ini.

Persidangan selama tiga hari bermula semalam itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran pengamal perubatan profesional dalam merawat serta menjaga bayi yang kritikal di negara ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga anggota Parlimen Gopeng berharap kementerian memperoleh peruntukan lebih tinggi dalam Bajet 2019 supaya dapat meningkatkan penjagaan utama kesihatan dan pencegahan penyakit di negara ini.

Dr Lee berkata kementerian juga akan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah dalam aspek penjagaan kesihatan termasuk menggalakkan golongan tersebut menjalani pemeriksaan kesihatan seperti hipertensi, diabetes dan pemeriksaan darah. 

"Keutamaan kita ialah menjaga kumpulan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, diharap ada sesuatu dalam pengumuman bajet nanti untuk golongan ini agar kebajikan mereka terjaga," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata perbelanjaan kesihatan melibatkan sektor swasta dan kerajaan adalah sekitar 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dan berharap ia dapat dipertingkatkan kepada enam hingga tujuh peratus bagi menjayakan pelan jangka panjang kementerian itu.

"Peruntukan perlu dibelanjakan dengan betul, jika tidak, ia boleh menyebabkan inflasi dan peruntukan tambahan akan menjadi tidak bermakna,” katanya.

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018