KENINGAU, 18 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Perkhidmatan Sosial (Perkeso) giat mengambil langkah proaktif bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) akibat gaya hidup kurang sihat, kata Pengurus Perkeso Cawangan Keningau Rijal Jamaluddin hari ini.
Katanya, penyakit itu kini menjadi isu kesihatan utama di negara ini, yang turut dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kegemukan dan kolestrol tinggi.
“Kita sedang berhadapan dengan keadaan yang menakutkan. Kita bertarung dengan penyakit yang tercipta disebabkan diri (manusia) sendiri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Saringan Kesihatan dan Advokasi Pencegahan Kemalangan dalam kalangan kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini.
Rijal berkata penyakit gaya hidup sekalipun tidak berjangkit, namun memberi kesan yang sangat buruk khususnya dalam kalangan pekerja di negara ini.
“Pekerja tidak mampu untuk menghasilkan kerja bermutu jika menghidap mana-mana penyakit gaya hidup.
Sebab itu Perkeso mengambil langkah proaktif bagi mencegahnya dalam kalangan pekerja di negara ini dengan menawarkan Program Pemeriksaan Kesihatan percuma,” katanya.
Rijal turut memberitahu sebanyak 3,185 klinik swasta seluruh negara berdaftar dengan Perkeso sebagai panel program agensi itu, yang bersedia untuk memberikan panduan serta khidmat nasihat mengenai pengurusan penyakit gaya hidup, selain penyakit-penyakit lain seperti masalah jantung dan kanser.
Program itu, yang dilakukan ke atas kakitangan LHDN, meliputi pemeriksaan fizikal dan ujian darah, serta ujian ‘pap smear’ dan mamogram kepada kakitangan wanita yang dilakukan oleh doktor pakar.
Lima belas orang kakitangan jabatan itu terlibat dalam program pemeriksaan kesihatan itu.
Pada majlis itu, 11 kakitangan LHDN menerima topi keledar Advokasi Pencegahan Kemalangan Janji Selamat Ke Tempat Kerja.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN