Susu dikesan tercemar ditarik balik dari pasaran Singapura

Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) – Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa susu rumusan bayi jenama Dumex Mamil Gold-Step 1 buatan Malaysia yang dilaporkan ditarik balik dari pasaran Singapura tidak dijual dalam pasaran Malaysia.

 Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata produk susu formula bayi berkenaan dihasilkan hanya untuk pasaran eksport di Singapura.

Katanya Kementerian Kesihatan mengambil maklum mengenai isu penarikan balik susu rumusan itu, yang berdasarkan laporan Agri-Food & Veterinary Authority (AVA)  Singapura bahawa susu itu  tercemar dengan bakteria Cronobacter sakazakii.

“ Produk susu rumusan bayi yang terlibat mempunyai berat bersih 850g setiap tin, nombor batch 09117R1 dan tarikh luput pada 11 Sept 2019.

“ Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran yang boleh hidup dalam keadaan kering seperti susu formula bayi biarpun jangkitan Cronobacter jarang berlaku namun menyebabkan meningitis atau sepsis yang boleh membawa maut kepada bayi baru lahir,” katanya.

Simptom yang terdapat pada bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan  sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan akan terus meningkatkan pemantauan ke atas produk susu rumusan bayi di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Hasil pemantauan kementerian itu dari 2015 sehingga kini, sebanyak 129 sampel telah diambil dan didapati tiada bakteria Cronobacter sakazakii dikesan dalam produk susu rumusan bayi.

“Di bawah subseksyen 13(1) Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya.

Sebarang kemusykilan orang ramai berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

-- BERNAMA 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018