KKM rampas 280 jenis ubat tidak berdaftar didalangi warga Bangladesh

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan  (KKM) merampas 280 jenis ubat tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM200,000 daripada premis yang dikendalikan oleh warga Bangladesh di Jalan Tun Tan Siew Sin di sini.  

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata,ubat-ubatan itu yang dirampas dalam serbuan pada  Rabu disyaki mempunyai racun berjadual seperti ubat antibiotik (Cefuroxime), ubat tahan sakit (injeksi Tramadol) dan ubat penenang (injeksi Diazepam). 

Beliau berkata  serbuan dilakukan susulan pendedahan  oleh sebuah akhbar harian berbahasa Malaysia pada 23 Ogos lalu mengenai sindiket penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar didalangi warga Bangladesh di Jalan Tun Tan Siew Sin.

 Siasatan awal KKM mendapati wujudnya 10 premis disyaki digunakan untuk menjual ubat-ubatan tidak berdaftar kepada warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin di mana di premis-premis berkenaan  pernah diserbu pada 2016 dan 2017, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya di bawah Pelan Strategik Program Farmasi 2017-2020, Jalan Tun Tan Siew Sin yang dahulunya dikenali sebagai Silang merupakan satu daripada 80 kawasan panas yang didapati menjual produk ubat tidak berdaftar dan pihak Kementerian menyasarkan untuk membanteras kegiatan itu menjelang 2020.

Dr Noor Hisham berkata pihak Kementerian turut giat menjalankan pemantauan secara berterusan dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia bagi membanteras penjualan produk  tidak berdaftar terutamanya ubat-ubatan.

Individu yang didapati bersalah menjual ubat tidak berdaftar boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara  tidak melebihi lima tahun bagi kesalahan berikutnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan produk-produk yang dibeli mematuhi keperluan undang-undang dan berdaftar dengan KKM.

Orang ramai boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai produk yang meragukan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM di http://www.pharmacy.gov.my, ataupun kepada Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my atau di talian 03-78413200.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018