JOHOR BAHRU, 4 Sept (Bernama) – Masalah pendengaran yang dipercayai berpunca akibat pekerjaan mencatatkan peratusan tinggi di negeri ini, kata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor.
Pengarahnya Ir Saiful Azhar Mohd Said berkata masalah pendengaran atau kehilangan pendengaran mencatatkan 70 peratus daripada lebih 700 laporan berkaitan penyakit pekerjaan (penyakit yang berpunca akibat pekerjaan).
"Ini adalah satu perkara yang kita harus pandang serius kerana ia menunjukkan majoriti rakyat Johor berpotensi mengalami masalah pendengaran atau kehilangan pendengaran,” kata beliau kepada pemberita selepas perasmian ‘Majlis Sasaran Satu Juta Jam Bekerja (Manhours) Tanpa Kemalangan’ oleh Hospital Pakar KPJ Puteri, di sini, hari ini.
Untuk tempoh Januari 2018 sehingga hari ini, pihaknya telah menerima lebih 700 laporan berkaitan penyakit pekerjaan untuk negeri Johor dan menjangkakan akan menerima laporan sehingga 780 akhir tahun ini.
Selain masalah pendengaran, pihaknya juga menerima laporan penyakit pekerjaan lain seperti Musculo Skeletal Disorders (MSDs) atau gangguan otot rangka yang mengakibatkan kerosakan pada otot, saraf, tendon, ligamen, persendian seperti penyakit cakera tergelincir (slipped disc), katanya.
“Laporan-laporan ini penting kerana kita tidak pernah mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyakit yang berpunca daripada pekerjaan dan saya percaya masih ada banyak laporan mengenai penyakit ini yang kita tidak terima," tambah Saiful Azhar.
Oleh itu, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat berkaitan penyakit pekerjaan bagi mengenal pasti punca dan cara menanganinya dengan lebih berkesan.
Beliau berkata semakin banyak laporan yang diterima, maka data yang dikumpul juga akan bertambah banyak di mana hasil kajian maklumat berkenaan akan digunakan untuk menjamin kesejahteraan pekerja di tempat kerja mereka di masa hadapan.
“Oleh itu, kita JKKP telah menjalankan kerjasama dengan agensi-agensi kesihatan seperti Hospital Pakar KPJ Puteri di mana mereka akan mengenal pasti jenis-jenis penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan dan laporan berkenaan akan diserahkan kepada JKKP untuk kita membuat analisa yang lebih tepat,” jelasnya.
Tambahnya, perkara ini telah lama dilaksanakan oleh JKKP pusat dengan kerjasama daripada Malaysian Industrial Hygiene Association (MIHA) bagi mengumpul maklumat penyakit pekerjaan dalam negara.
“Kita harap dengan adanya maklumat yang komprehensif, kita akan dapat menghasilkan kaedah pekerjaan yang lebih selamat bagi membendung segala bentuk penyakit yang berpunca akibat pekerjaan,” jelasnya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN