Ibete Fernandez Hernandez
Oleh Tengku Faezah Tengku Yusof
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Industri farmaseutikal Cuba dan Malaysia akan mencapai tahap yang lebih tinggi jika kedua-dua negara memeterai satu perjanjian menjelang akhir tahun ini, kata Duta Besar Cuba ke Malaysia, Ibete Fernandez Hernandez.
Beliau berkata Cuba melihat Malaysia sebagai satu hab yang signifikan dalam kalangan negara Asia Tenggara untuk bersama-sama mengeluar dan memasarkan vaksin berkualiti serta mampu milik menerusi industri farmaseutikal.
“Terdapat perbincangan antara syarikat-syarikat (farmaseutikal) dari kedua-dua negara berhubung kemungkinan untuk mengeluarkan vaksin di negara ini. Cuba memiliki kepakaran dan pengetahuan manakala Malaysia mempunyai semua fasiliti yang diperlukan untuk mengeluarkan vaksin yang selamat dan berkualiti.
“Sekiranya kita boleh memeterai satu perjanjian tahun ini, kita mungkin boleh memulakan pengeluaran (vaksin) pada tahun depan,” katanya pada sidang akhbar di kediaman beliau di sini baru-baru ini.
Hernandez berkata sejak 1975, Malaysia dan Cuba menikmati hubungan dua hala yang baik manakala perdagangan utama mereka sebelum ini adalah berkaitan vaksin bagi Hepatitis B.
“Bagaimanapun pada 2016, kami terpaksa menghentikan hubungan perdagangan itu kerana Amerika Syarikat (AS) telah menguatkuasakan sekatan,” katanya.
Negara Caribbean itu terkenal dengan kemajuannya dalam bidang perubatan dan ia mempelopori vaksin bagi kanser paru-paru pertama di dunia, Cimavax, yang telah dilancarkan pada 2011.
Hernandez berkata pada 2017, Cuba telah mencapai kadar kematian bayi paling rendah dalam sejarah negara itu, dengan empat kematian bagi setiap 1,000 kelahiran dan jangka hayat hidup pada usia 78.45 tahun.
Satu embargo oleh AS terhadap negara Caribbean itu, yang bermula pada Oktober 1960 di bawah pentadbiran Presiden Dwight D. Eisenhower, telah diperluas di bawah President John F. Kennedy yang menyaksikan Cuba masih tidak dapat berdagang secara bebas dengan AS, menggunakan dolar AS dalam urus niaga antarabangsa dan tidak boleh membuka akaun bank dalam mata wang AS di negara-negara ketiga.
“Dasar ini terus menjadi halangan utama kepada pertumbuhan ekonomi Cuba dan peluang rakyat Cuba untuk menikmati hak asasi manusia sepenuhnya, yang menjadi satu cabaran serius bagi pelaksanaan Agenda 2030 serta matlamat pembangunan mampan Cuba,’’ kata Hernandez.
Embargo itu turut menyebabkan kerugian ekonomi lebih US$1 trilion kepada Cuba dan kira-kira 11.2 juta rakyatnya, kata beliau.
Tindakan Presiden Donald Trump menerima pakai Memorandum Presiden bertajuk ‘Pengukuhan Dasar AS ke atas Cuba’ pada Jun tahun lepas turut menyaksikan keintensifan embargo itu diperbaharui dan ini telah menjadi satu halangan yang serius kepada hubungan dua halanya dengan Cuba.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN