Lebih 50 peratus remaja tidak aktif, amalkan cara hidup sedentari

SHAH ALAM, 15 Sept (Bernama) -- Lebih 50 peratus golongan remaja di negara ini didapati tidak aktif dan mengamalkan cara hidup sedentari (tidak sihat), kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Chong Chee Keong.

Beliau berkata kajian Adolescent Health Survey 2017 menunjukkan 81.2 peratus remaja adalah tidak aktif manakala 50.1 peratus remaja gemar duduk sehingga tiga jam tanpa sebarang aktiviti fizikal.

"Majoriti anak muda kita tidak cukup melakukan aktiviti fizikal sepertimana disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selama 60 minit setiap hari.

"Tidak aktif dalam aktiviti fizikal adalah risiko utama penyakit tidak berjangkit seperti jantung, kanser dan diabetes yang menjadi antara faktor utama kematian di negara ini," katanya pada majlis penutupan Pertandingan Kecergasan Peringkat Kebangsaan 2018 di sebuah pusat membeli belah di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah (Survelan Penyakit) KKM Dr Norhayati Rusli.

Menurut Dr Chong, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 pula menunjukkan satu daripada tiga orang dewasa tidak cukup aktif, 47.7 peratus rakyat berlebihan berat badan serta obes yang mana wanita didapati lebih obes berbanding lelaki.

"Amalan aktiviti fizikal adalah signifikan dengan faedah kepada kesihatan dan menyumbang kepada pencegahan penyakit tidak berjangkit.

"Oleh itu, kerajaan melalui KKM memberi tumpuan kepada dasar, intervensi dan perkhidmatan kesihatan berkaitan aktiviti fizikal malah Malaysia, sebagai anggota WHO juga bersetuju mengurangkan 10 peratus ketidakaktifan dalam aktiviti fizikal menjelang 2025," katanya.

Sehubungan itu, kata Dr Chong, pertandingan kecergasan tersebut yang melibatkan pelbagai golongan termasuk remaja dilihat bertepatan dengan hasrat kerajaan memastikan rakyat sentiasa aktif seterusnya mencegah penyakit tidak berjangkit.

Pertandingan dimulakan sejak 2002 itu dengan objektif mempromosi aktiviti kecergasan secara meluas melalui pelbagai acara dan peringkat umur selain melahirkan pasukan kecergasan yang aktif dalam melatih aktiviti fizikal terhadap masyarakat.

Sebanyak 50 pasukan dari seluruh negara terdiri daripada golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa menyertai empat kategori yang dipertandingkan tahun ini - senamsihat, lompat tali (kanak-kanak dan remaja) serta Fitballrobik.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018