KKM sahkan 19 maut kes keracunan metanol

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 19 mangsa disyaki maut akibat keracunan metanol setakat 5 petang tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menerima notifikasi bagi 51 kes keracunan metanol, masing-masing 45 kes di Selangor dan enam kes di Kuala Lumpur, dengan tiga mangsa terdiri daripada rakyat tempatan dan 48 mangsa dari Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.

Beliau berkata selain 19 kematian yang dicatat, 14 pesakit kini dalam keadaan kritikal, sembilan pesakit dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemerhatian, manakala sembilan individu dibenarkan pulang setelah menjalani rawatan. 

"Jumlah kes dijangka meningkat apabila lebih ramai pesakit datang mendapatkan rawatan bagi kes keracunan metanol," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata pesakit menunjukkan tanda-tanda dan gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dan ada yang mengalami sesak nafas, kekejangan dan tidak sedarkan diri. 

Dr Noor Hisham berkata hasil siasatan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah terlibat, mendapati kesemua pesakit terbabit membeli minuman sebatian keras di premis-premis sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. 

Sampel minuman alkohol yang diambil semasa siasatan kes dan pemeriksaan premis-premis jualan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh (MKAK) untuk ujian analisa kandungan minuman.

Beliau berkata laporan polis dibuat KKM untuk mengenal pasti pengedar, pengilang minuman tersebut serta punca keracunan dan seterusnya menyekat pembekalan sebatian minuman keras yang tercemar itu di pasaran. 

"KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol tidak mematuhi Akta Makanan 1983 terutama ke atas produk minuman beralkohol disyaki dan semua jenama lain yang didapati tidak mematuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 menetapkan mana-mana orang menyediakan atau menjual apa-apa makanan mengandungi bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

"KKM ingin menasihatkan masyarakat agar menjauhi daripada mengambil sebarang minuman beralkohol yang mungkin mengandungi metanol yang mendatangkan masalah kesihatan dengan tanda-tanda dan gejala seperti sesak nafas, sakit perut, loya atau muntah, cirit-birit, pening atau sakit kepala teruk, kabur penglihatan dan kekejangan serta boleh mengakibatkan maut," tambahnya.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor dalam satu kenyataan petang tadi berkata 15 mangsa maut manakala 33 lagi dimasukkan ke beberapa hospital di Lembah Klang sejak semalam, dipercayai akibat keracunan arak.

-- BERNAMA 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018