Beri tumpuan kepada aspek keselamatan, kesihatan di sekolah berasrama penuh: NIOSH

Lee Lam Thye

LABUAN, 20 Sept (Bernama) -- Aspek keselamatan dan kesihatan di sekolah-sekolah berasrama penuh wajar diberikan lebih tumpuan memandangkan guru-guru dan kakitangan sokongannya sentiasa berada di sekolah pada sepanjang masa.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata keadaan di sekolah-sekolah berasrama penuh adalah berbeza daripada sekolah-sekolah biasa yang pelajarnya pulang ke rumah selepas selesai kelas dan kegiatan kokurikulum.

"Memandangkan pihak pengurusan sekolah berasrama penuh memikul tanggungjawab berat, saya ingin menggesa agar dilaksanakan satu sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang lebih efisien bagi mengelak sebarang kejadian dan penyakit yang tidak diingini di tempat mereka," katanya pada program "OSH di Sekolah" di Sekolah Menengah Sains Labuan di sini hari ini.

Menurutnya pihak pengurusan sekolah perlu menubuhkan Jawatakuasa Keselamatan dan Kesihatan dan melaksanakan konsep 'Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control' (Mengenal Pasti Bahaya, Menilai dan Mengawal Risiko) atau HIRARC.

Beliau berkata jika konsep HIRARC itu dilaksanakan, para guru dan pelajar sudah tentu akan faham aktiviti-aktiviti yang berisiko yang boleh menyebabkan kemalangan sekiranya tidak dikendalikan dengan betul.

"Sekolah berasrama penuh seperti SM Sains Labuan patut memberi lebih perhatian (kepada isu ini) kerana pelajar sentiasa berada di bangunan sekolah atau asrama sepanjang masa," kata beliau.

Turut hadir ialah Pengurus Wilayah NIOSH bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Wan Sarman Sakan, Presiden Persatuan Alumni SM Sains Labuan (SAMUDERA) Suhaili Dikar dan Timbalan Pengarah Pendidikan Labuan Martin Abd Rahman.

Lee berkata mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, pihak sekolah sebagai majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pihak di premis berkenaan.

Di bawah OSHA 1994, tanggungjawab majikan termasuk melaksanakan dasar-dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan memastikan pekerja dan mereka yang berada di tempat kerja tidak terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan.

Beliau berkata telah seringkali dilaporkan kemalangan berlaku di sekolah temasuk beberapa tragedi yang membabitkan guru-guru dan pelajar seperti pelajar terjatuh dari bangunan sekolah, ditimpa tiang gol besi, kebakaran dan kebocoran gas.

Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti di sekolah boleh membahayakan pelajar seperti penggunaan peralatan kimpalan untuk mengimpal, memotong atau menggerudi dan ketika mengendalikan bahan kimia bertoksik dan mudah terbakar di makmal-makmal sains.

Beliau berkata sudah sampai masanya analisis risiko bahaya setiap aktiviti di sekolah yang melibatkan guru, kakitangan sokongan dan pelajar dilaksanakan.

Bagi institusi pendidikan yang menjalankan kegiatan berisiko, beliau berkata mereka perlu melaksanakan standard pengurusan OSH seperti Malaysian Standards MS1722 atau ISO 45001, yang merupakan standard pengurusan OSH pertama di dunia.

Lee juga menggesa lebih banyak syarikat swasta, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk bekerjasama dengan NIOSH untuk melaksanakan program kesedaran OSH di sekolah-sekolah di seluruh negara.

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2