KKM : Kematian akibat keracunan metanol meningkat 33 orang

Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) --  Jumlah terkini kematian disebabkan meminum arak mengandungi metanol meningkat kepada 33 orang sehingga 12 tengah hari semalam. 

Daripada jumlah itu sebanyak 20 kes direkodkan di Selangor, 10 di Kuala Lumpur dan tiga di Perak. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima 87 notifikasi kes keracunan metanol daripada kemudahan kesihatannya untuk tarikh Sept 15 sehingga 12 tengah hari semalam. 

Katanya, kes tersebut melibatkan 10 warga Bangladesh, tiga warga India, Myanmar (21), Nepal (31), Indonesia (1), Malaysia (17)  manakala empat tidak diketahui kewarganegaraannya. 

“Pada hari ini pihak KKM hanya menerima satu kes baharu yang diterima dari negeri Perak. Dengan pertambahan ini menjadikan jumlah kes keracunan metanol di negeri Perak sebanyak lapan kes, negeri Selangor adalah sebanyak 62 kes, Kuala Lumpur sebanyak 16 kes dan Negeri Sembilan sebanyak satu kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes dicatatkan, seorang pesakit  telah didapati stabil dan telah dibenarkan pulang dari hospital manakala 37 pesakit masih menerima rawatan ​​​​​​di sebelas hospital yang mana 13 daripadanya kritikal. 

“KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian ini,” katanya. 

Tambahnya, 39 daripada 69 sampel yang dianalisa Makmal Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh dikesan terdapat kehadiran metanol.

Sehingga semalam, KKM melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menyita 1,816 botol minuman beralkohol pelbagai jenama yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 ketika memeriksa 586 premis menjual arak. 

KKM turut menyeru orang ramai yang mengalami gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima hari pengambilan minuman beralkohol untuk segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital.

Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA   


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018