ALOR GAJAH, 25 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bangunan lama Hospital Alor Gajah untuk dijadikan Jabatan Pesakit Luar, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut RM500,000 diperuntukkan untuk membaik pulih bangunan hospital yang berusia lebih 100 tahun itu sementara RM1 juta diperuntukkan untuk pembelian peralatan dan fasiliti baharu bagi kegunaan jabatan berkenaan apabila beroperasi kelak.
Katanya kerja menaik taraf bangunan tersebut yang dijangka siap pada Disember depan bertujuan mengurangkan kesesakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar yang kini beroperasi di bangunan hospital baharu di Jalan Paya Datok di sini.
"Kita melihat terdapat keperluan bagi menaik taraf bangunan lama Hospital Alor Gajah untuk dijadikan jabatan pesakit luar yang mana hospital ini menerima purata kira-kira 350 orang pesakit sehari termasuk dari selatan Negeri Sembilan.
"Apabila kerja menaik taraf bangunan itu siap, Jabatan Pesakit Luar di sini akan berpindah ke sana dan beroperasi di bawah satu bumbung dengan Klinik Ibu dan Anak yang memang beroperasi di bangunan itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Alor Gajah di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Zairul Azidin Badri dan Pengarah Hospital Alor Gajah Dr Suraidah Karim.
Dalam perkembangan lain, Lee berkata pihaknya berpuas hati dengan tindakan pembaikan segera yang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap bangunan hospital baharu Alor Gajah terutama dewan bedah dan Unit Rehabilitasi berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1.
"Beberapa kecacatan dikenal pasti berlaku pada bangunan baharu hospital ini yang siap dibina pada 2012 dan kita di pihak kementerian telah mengambil langkah segera membaiki kecacatan yang ada dan semua kos ditanggung sepenuhnya oleh JKR.
"Untuk makluman dewan bedah hospital ini telah pun beroperasi sejak setahun lepas iaitu pada 18 September 2017 dan kerja membaik pulih kerosakan sedia adalah seperti yang ditegur Laporan Ketua Audit Negara telah dilakukan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata kadar penggunaan katil (BOR) di hospital berkenaan telah mencapai 80 peratus, yang mana jumlah katil meningkat sebanyak 95 katil pada masa ini berbanding 78 katil ketika hospital itu mula beroperasi pada 2013.
Pada 6 Ogos lepas Bernama melaporkan Dewan bedah Hospital Alor Gajah (HAG), Melaka didapati gagal beroperasi sejak hospital baharu itu mula beroperasi pada 18 Februari 2013 kerana bacaan tahap kebisingan yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan.
Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan berkata dewan bedah Hospital Alor Gajah juga tidak berfungsi kerana kerosakan berulang terhadap sistem pendingin hawa dan Sistem Penyeliaan Bangunan.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN